Kisah Datuk Fulus Sang Usahawan Hebat
Alkisah bermula disebuah kampung yang terpisah dari dunia luar. Kampung Santai Sempoi namanya. Penduduknya hidup harmoni bertani, menternak lembu kambing, menangkap ikan. Oleh kerana jauhnya kampung itu dari bandar dan kampung lain, amat sukar untuk barang dari luar untuk sampai ke daerah itu. Oleh itu kebanyakan keperluan mereka diusahakan sendiri. Keperluan pakaian mereka ditenun oleh beberapa keluarga yang menghasilkan benang dari kapas yang ditanam sendiri. Untuk membina rumah pula, mereka ada beberapa tukang kayu mahir yang mengambil hasil balak dari hutan di kaki gunung di hujung kampung. Demikianlah kehidupan mereka, aman damai. Tidak mewah tapi cukup untuk hidup tenang dan sejahtera. Namun tidak mereka sedari, di bawah tanah yang mereka duduki terdapat kekayaan yang tidak pernah mereka impikan. Tanah kampung Santai Sempoi istimewa. Ia mengandungi bijih laghium, unsur galian yang diperlukan oleh dunia luar untuk menyalakan jentera dan kenderaan moden dengan berkesan....