Kisah Datuk Fulus Sang Usahawan Hebat

 

Alkisah bermula disebuah kampung yang terpisah dari dunia luar. Kampung Santai Sempoi namanya.  Penduduknya hidup harmoni bertani, menternak lembu kambing, menangkap ikan. Oleh kerana jauhnya kampung itu dari bandar dan kampung lain, amat sukar untuk barang dari luar untuk sampai ke daerah itu. Oleh itu kebanyakan keperluan mereka diusahakan sendiri. Keperluan pakaian mereka ditenun oleh beberapa keluarga yang menghasilkan benang dari kapas yang ditanam sendiri. Untuk membina rumah pula, mereka ada beberapa tukang kayu mahir yang mengambil hasil balak dari hutan di kaki gunung di hujung kampung. Demikianlah kehidupan mereka, aman damai. Tidak mewah tapi cukup untuk hidup tenang dan sejahtera.

Namun tidak mereka sedari, di bawah tanah yang mereka duduki terdapat kekayaan yang tidak pernah mereka impikan. Tanah kampung Santai Sempoi istimewa. Ia mengandungi bijih laghium, unsur galian yang diperlukan oleh dunia luar untuk menyalakan jentera dan kenderaan moden dengan berkesan. Jentera dan kenderaan yang tidak pernah dilihat di Kampung Santai Sempoi.

Suatu hari seorang usahawan dari bandar telah datang ke kampung itu apabila mendengar banyaknya laghium di kampung itu. Datuk Fulus namanya. Maka dia telah mengumpul orang kampung semuanya lalu berucap:

"Tuan tuan dan puan2. Saya datang dengan niat ikhlas untuk membawa kemewahan ke kampung ini. Saya akan membina sekolah, hospital, gedung perniagaan besar untuk membawa kesejahteraan kepada kamu semua. Tapi saya perlukan tanah2 kamu sebab di dalam tanah ini ada kekayaan yang tak tergambarkan."

Lalu salah seorang orang kampung bertanya, "Datuk, tanah ini adalah tempat kami bercucuk tanam untuk makanan, menanam kapas untuk pakaian, sumber kayu untuk kami membina rumah. Sekiranya semua tanah ini dijual, macamana kami nak hidup?

Lalu Datuk Fulus mengeluarkan paipnya sambil tersenyum " Jangan risau, saya akan membayar harga yang mahal untuk tanah tuan2, tuan2 akan punya banyak duit untuk membeli segala keperluan hidup. Tuan tentu tertanya dari mana nak beli segala barang keperluan? Tenang, saya akan bangunkan gedung perniagaan yang besar, semua barangnya diimpot dari luar dan berkualiti tinggi. Makanannya berkhasiat dan enak. Baju2nya semua cantik dan mengikut fesyen semasa. Untuk membuat rumah, saya akan bawa simen dan besi serta kemasan yang diimpot dari eropah. Semuanya tuan boleh beli dengan duit yang banyak yang saya berikan."

Seorang lagi bertanya, "Memang menarik Datuk, tapi apa pekerjaan kami selepas ini? Tanah dah tak ada? Anak2 kami nak kerja apa nanti?"

"Soalan yang baik. Sebenarnya, apabila saya dapat tanah tuan, saya perlukan pekerja, Bukan untuk kerja mencangkul tanah mengeluarkan bijih. Itu kami akan gunakan mesin tercanggih yang saya bawa dari eropah. Tapi kami perlukan pemandu kenderaan pengangkutan dan pengendara jentera, pengurus, akauntan, jurutera, pegawai, penyelia, kerani, keselamatan dan bermacam tugas lagi di perusahaan saya. Kami perlukan pekerja gedung dan hospital. Kita perlukan pensyarah untuk akademi yang akan kami bina. Tuan dan anak2 tuan akan sentiasa ada pekerjaan. Tak perlu bekerja dibawah matahari lagi"

Maka seronoklah penduduk kampung mendengar khabar gembira sebegini. Sejak itu Penduduk Santai Sempoi tidak lagi bercucuk tanam, berternak atau bertenun lagi. Dengan duit jualan tanah, mereka mampu membeli makanan mewah, baju yang cantik dan bergaya, membina rumah batu yang serba moden dan lengkap dengan peralatan elektrik terkini. Semuanya di impot dari luar. Anak2 mereka pula di ajar selok belok pengurusan, kejuruteraan, kewangan, semuanya kini akan berjawatan dengan gaji yang lumayan di perusahaan Datuk Fulus. Mereka menjadi generasi moden yang setanding dengan masyarakat global era IR4.0

Akan tetapi, langit tak selalu cerah. Suatu hari terdengar berita, seorang remaja dari eropah telah mencipta sumber tenaga yang lebih baik dan murah dari laghium. Bahan yang digunakan itu namanya lestarium. Maka harga laghium pun jatuh teruk. Dunia beralih kepada lestarium yang lebih murah. Dalam diam, Datuk Fulus telah menutup kuari laghium di Kampung Santai Sempoi. Maka Kampung Santai Sempoi seakan ditimpa badai. Kilang dan lombong ditutup. Penduduk tidak lagi mempunyai sumber pendapatan. Gedung Perniagaan juga ditutup.

Penduduk menjadi buntu. Apa yang hendak di makan? Siapa yang hendak membina dan membaiki rumah? Tanah untuk bercucuk tanam telah tiada lagi, hanya tinggal bekas lombong yang tidak boleh diusahakan lagi. Tukang tenun dan tukang rumah telah pun tua dan tiada anak2 yang pandai menenun atau bertukang lagi. Anak2 mereka semuanya telah belajar menjadi pengurus dan jurutera kilang yang kini telahpun ditutup. Kayu hutan pun telah banyak ditebang apabila tanah diteroka untuk perlombongan. Hanya kontraktor rumah batu yang di jemput dari luar untuk membina rumah sekiranya diperlukan. Itupun penduduk tidak mampu  bina lagi kerana simen dan besi yang selama ini diimpot dari luar telah tidak mampu dibeli lagi.

Akhirnya anak2 Kampung Santai Sempoi berhijrah ke kota untuk meneruskan hidup, berbekalkan kemahiran moden yang mereka perolehi. Merekalah yang diharapkan untuk menghantar wang untuk orang tua mereka di kampung meneruskan hidup. Tapi tidak banyak yang dihantar. Kerana khabarnya anak2 kampung yang kerja dibandar, teruk dibeban hutang untuk membeli rumah dan kereta demi kelangsungan hidup di bandar. Rupanya segala perubahan cara hidup mereka bukanlah percuma. Iya mereka diberi gaji, tetapi mereka harus membayar pula untuk segala harta dan kenderaan untuk hidup dibandar. Andainya mereka hanya membayar harga rumah dan kereta mungkin tidak sebegitu teruk, tetapi oleh kerana mereka terpaksa meminjam, maka mereka juga harus membayar bunga ke atas duit yang dipinjam.

Akhirnya Kampung Santai Sempoi semakin lengang dan kosong. Datuk Fulus pun tidak kelihatan lagi di kampung tersebut, Khabarnya dia telah membawa duitnya yang banyak hasil jualan laghium kampugn Sempoi Sentosa selama ini dan telah berpindah ke Eropah untuk hidup di sana.

Namun ada pula yang mengatakan melihat kelibat Datuk Fulus di kampung lain. Khabar angin mengatakan, dia kini membuka perlombongan lestarium di kampung Sentosa Indah, Kabarnya Kampung Sentosa Indah kaya dengan lestarium.

Tamatlah kisah ini yang tak ada kena mengena dengan yang mati mahupun yang  belum mati lagi.

Fikir Lestari

Jun 2024


Comments

Popular posts from this blog

Cikgu Shaari - Babak 1 – Di Dalam Kelas

Cikgu Shaari - Babak 4 – Dialog yang Terbuka

PASAK: 6- DUA BATANG MERBAU