Monday 13 April 2020

PASAK: 6- DUA BATANG MERBAU


(Babak: Prologue1, 2345, 678910Epilogue)


Diserambi rumah Hassan. Waktu malam.
Terdapat meja dan kerusi jati. Hassan sedang duduk dan kelihatan sedang membuat beberapa pengiraan di sebuah buku yang ditatapnya tekun. ROSNAH datang sambil membawa satu teko kopi dan beberapa cawan kosong,
ROSNAH:
Eh mana budak-budak tu? Tak sampai lagi ke.
HASSAN:
Belum. Si Nasa dengan Rama aje yang datang nanti.
ROSNAH:
Abang Jamal dengan Si Kodek tak datang ke?
HASSAN:
Tak. Abang minta Jamal pergi ke Setawar beli minyak enjin bot. Si Kodek balik ke Pegaram katanya ayahnya sakit.
ROSNAH:
Minyak bot? Abang nak ke hulu lagi ke? Kan kayu untuk rumah di Setenang tu abang dah kumpulkan di Depan tu?
HASSAN:
Belum cukup tu. Lagi pun semalam penghulu minta abang keluarkan lagi 2 batang Merbau. Nak buat kerusi pula katanya.
ROSNAH:
Kerusi? Hai bang, sebelum ni abang buat kerusi cuma pakai merbau yang lebihan dari buat rumah. Kali ni sampai 2 batang Merbau nak buat kerusi semata?
HASSAN:
(Berhenti menulis dan merenung jauh ke hadapan, seakan memikir Sesuatu)
Itulah, abang serba salah memikirkannya. Abang teringat pesan arwah Datuk. Katanya Kayu merbau hutan Kampung ni jangan diguna sebarangan. Buatlah untuk perkara yang perlu dan penting. Buat rumah tu kira penting juga. Cuma kalau ada lebihan buatlah kerusi. Kalau tak nanti tuan rumah buang atau pun paling rajin, buat reban ayam. Rugi pula.
ROSNAH:
Saya pun faham begitu bang. Sayanglah kalau Merbau tu di ditebang, semata2 untuk buat kerusi. Sedangkan kita selama ni tak perlu kerusi pun. Lainlah kalau ada lebihan, macam kata Datuk abang, bolehlah dijadikan kerusi.
HASSAN:
Kerusi tu bukan orang Kampung ni yang minta. Tapi Penghulu Kasim kata Seman nak Jual di Setawar. Ramai orang hendakkan kerusi abang tu. Semua yang datang ke rumah Penghulu dengan rumah Seman, sukakan kerusi abang tu.
ROSNAH:
Alhamdulillah, baguslah kalau macam tu. Peluang dapat rezki lebih. Tapi entahlah bang. Bila fikirkan kayu berharga digunakan untuk buat sesuatu yang tak perlu, rasa macam terkilan pun ada. Risau pun ada.
HASSAN:
Risau? Kenapa pula risau?
ROSNAH:
Risau. Abang ingat tak sepuluh tahun lepas ada banjir di Kampung Hilir. Kata orang banjir tu sebab Hutan merbau di sebelah darat hulu sungai habis ditebang. Masa banjir tu, Induk saya dikampung tu hampir hilang rumah dihanyut air.
HASSAN:
Ya abang ingat. Mak Sedara awak tu nasib baik sebab bot sempat sampai bila air naik. Masa tu abang di Kampung Seberang tinggal bersama arwah Datuk. Datuk abang cukup marah bila dapat tahu syarikat milik orang putih tu tebang hutan tu menggila. Tapi kan. Abang rasa kalau abang ambil setakat dua tiga batang sekali sekala, tak kan jadi macam tu.
ROSNAH:
Memang betul tu bang. Tapi kenalah kita ingat. Kalau dah ramai yang cakap macam ni, banyak juga yang akan ditebang nanti. Sekarang mungkin abang seorang. Bila kerusi abang dah rata dijual di Selewar atau mana2. Tentu ramai yang berhajat dengan Kerusi abang tu, mulalah ada tukang lain di daerah ini akan buat benda yang sama ataupun berhajat dengan kayu tu untuk tujuan lain.
HASSAN:
Ada kemungkinan juga. (Termenung)
Tiba2 terdengar ada suara memberi salam dari luar. HASSAN bangun sambil menjawab salam. NasaruddiN (NASA) dengan RAMA baru tiba dan setelah dijemput, naik ke ruang serambi.



ROSNAH:
Haa Nasa, Rama, jemputlah duduk, minum dulu air kopi ni. Nasib baik tak lewat sangat kamu tiba. Kalau dah sejuk kopi ni, tak sedap pula nanti. Minumlah ya, kakak nak ke dapur dulu.
NASA:
Terimakasihlah kak. Buat susah saja. Kami ni kopi sejuk pun tak kisah. Janji dapat duduk atast kerusi Jati rumah kakak ni. Kopi sejuk pun terus jadi sedap, duduk pun ada gaya. Bukan Begitu Rama?
RAMA:
Apalah engkau ni Nasa, ada pula kopi jadi sedap sebab duduk atas kerusi. Kopi kakak memang sedap apa. Walaupun masa tu rumah ni tak ada kerusi jati. Kata Rama sambil menjeling pada Nasa.
ROSNAH:
Ada ada saja kamu berdua ni. Sudahlah akak masuk dulu. Abang Hassan kamu ni ada benda nak bincang.
ROSNAH berlalu masuk ke rumah ibu. HASSAN pun terus menerangkan kepada NASA dan RAMA tentang rancangannya. Selepas kira2 setengah jam berbincang, NASA pun menyambung.



NASA:
Nampaknya rezki abang Hassan murah tahun ni. Belum pun siap rumah yang tiga biji tu, dah ada pesanan nak buat kerusi pula. Kami ni pun tumpang tuah abang. Tapi kan bang, saya rasa macam buat kerusi ni lagi untung. Kerjanya tak seteruk menaikkan tiang dan gelegar rumah, tapi ganjarannya nanti sama saja dengan buat rumah.
HASSAN:
Memanglah, tapi aku tak berasa seronok sangat buat kerusi ni. Benda yang tak penting. Untuk orang ada-ada saja. Kalau guna kayu biasa mungkin aku tak kisah. Tapi bila permintaan gunakan merbau kelawar, aku jadi tak seronok pula.
NASA:
Eh kenapa pulak abang kata benda tak penting, kalau ada yang nak bayar mahal, benda pentinglah tu. Betul tak Rama.
RAMA:
Betul juga tu. Tapi saya faham kerisauan abang Hassan. Kayu Merbau Kelawar ni sayang nak ditebang sebarangan. Kan Datuk abang dah pesan begitu?



HASSAN:
Kalau kita anggap harga sesuatu barang tu menentukan pentingnya tidak benda tu, aku rasa tak betul tu. Kalau orang kaya, benda tak penting pun dia boleh bayar mahal.
NASA:
Alah Bang, tak payahlah fikir sampai macam tu. Kayu tu memang ada harganya, kalau kita tak gunakan untuk manfaat kita, kayu tu akan tumbang sendiri bila dah tua. Tak pun nanti ada tukang lain yang ambil untuk buat benda lain. Silap2 saya sendiri yang ambil nanti.Haha…
RAMA:
Eh kau ni Nasa, Kalau kau ambil kau nak buat apa? Kau bertukang pun abang Hassan yang ajar. Memahat pun kau belum mahir. Aku tak dapat bayangkan apa yang kau boleh buat tanpa Abang Hassan.
HASSAN:
Alah tak usah gaduhlah. Aku sebenanya harap satu hari kamu berempat boleh mahir buat rumah macam aku. Seni bertukang rumah Melayu ni mahal harganya. Aku sendiri rasa bertuah dapat belajar dengan arwah Datuk Aku dulu.


RAMA:
Saya pun terimakasih dengan Abang sebab mahu ambil saya bekerja dan belajar walaupun saya bukan Melayu. Bila saya tengok cara abang buat rumah, Saya kagum dengan seni tukang rumah Melayu ni. Di bandar dulu saya kerja buat rumah batu untuk Orang Putih. Lain caranya. Mereka suka buat rumah besar tapi ikut lukisan. Abang buat tak payah lukisan. Kemudian tu, bukan semua abang ukur kaki inci, ada pulak pakai hasta, depa.
HASSAN:
Itulah kelainannya Rama. Arwah Datuk saya kata dulu. Setiap rumah ukuran dia berbeza. Tukang kena tahu ukuran mengikut tuan rumah. Ada beberapa ukuran mesti pakai lengan atau hasta tuan rumah. Barulah rumah tu akan kelihatan elok dan serasi.
NASA:
Hebat ilmu Tok Sidang Damat ye. Nampaknya banyak lagi kami nak berguru ni Bang Hassan. Apa pun saya kena balik dulu ni. Saya janji nak baiki kipas padi Pak Kadri. Dari minggu lepas dia minta saya tengokkan bilah angin dia dah jatuh. Tak lama lagi musim mengangin padi ni. Bising pula dia nanti. Saya minta diri dulu.
RAMA:
Saya pun nak balik dulu Bang Hassan. Pagi Esok saya datang.



HASSAN:
Baiklah Pagi esok aku ke hulu serai dengan Jamal pilih pokok. Kamu berdua selesaikanlah kayu yang ada kat depan tu.
NASA:
Baik bang, esok saja. Assalaamualaikum
Nasir dan Rama pun bersalaman dengan Hassan dan turun dari rumah


Untuk dapatkan ebook percuma manuskrip keseluruhan drama Pasak, sila muaturun di SINI.
(https://drive.google.com/file/d/12QFagK8c4SDyku6HfYFpnXT3Bt7C_4cr/view?fbclid=IwAR3Ce4jSJjsbImHeE5x-mVMQl6P0TLDpZIKKi-YGuTNeKyC4FNidcjwPsKw)

No comments:

Post a Comment