Monday 13 April 2020

PASAK: EPILOGUE


(Babak: Prologue1, 2345, 678910Epilogue)

Pemandangan waktu petang di tepi sawah yang musnah.
HASSAN, IMAM ROS dan MANSUR berdiri di tepi jalan di tepi sawah dan memandang jauh ke tengah sawah.
IMAM ROS:
Nampaknya Tahun ni tak berberas kita. Di Setawar pun orang kata beras dah tak ada, sebab kapal tak masuk. Semua orang takut perang sampai ke sini.
HASSAN:
Nampaknya semua kena tanam ubi keledek. Itu saja yang cepat. Musim padi lambat lagi. Tapi itulah, makan ubi ni boleh tampung lapar saja. Tapi orang kampung akan jadi kurus dan lemah.
MANSUR:
Agaknya kalau hutan gunung sirat tu tak diusik, mungkin tak jadi bencana ni.
HASSAN:
Memang pembalakan di situ menjadi punca bencana ni. Tapi asal usulnya kita juga. Kita yang tebang pokok2 tu, tanah masuk ke sungai, sungai mendak, air naik bila hujan.



IMAM ROS:
Nasib baik rumah2 di kampung Sawah Hulu ni tak teruk di naiki air macam di Kampung Hilir. Tapi tengoklah apa jadi pada sawah2 ni. Mungkin inilah tuhan nak tunjuk kepada kita. Selama ni kita anggap semua benda akan sentiasa ada, sentiasa kekal. Tak akan ada masalah. Bila terjadi bencana, baru kita sedar kita ni kerdil, mudah binasa.
HASSAN:
Saya terfikir Tok Imam, kalaulah saya tak ikutkan kehendak si Seman untuk tebang kayu dibuat kerusi asal dulu, mungkin semua ni tak terjadi.
MANSUR:
Tapi yang menebang pokok tu bukan engkau Hassan. Dulu kau tebang pun setakat untuk keperluan anak kampung. Namun sejak kilang tu dibuka, habis di tebang sampai padang jarak padang tekukur jadinya. Kilang si Seman tulah puncanya.
IMAM ROS:
Ini bukan masanya nak salahkan sesiapa. Tapi kita harus lihat diri kita sendiri. Kita Semua. Semasa Kilang tu dibuka, kita semua fikir yang baik, dapat rezeki yang lebih, dan mudah. Kita fikir dapat kerusi cantik, dapat duit lebih, dapat itu dapat ini. Tapi kita terlepas pandang tentang hubung kait alam semula jadi ni. Kita nak kayu merbau kelawar tu, pokok merbau kelawar dan pokok lain di hutan tu ada tugas, memegang tanah, menapis air hujan agar sungai tak berkeladak. Sepatutnya, semasa kita ambil pokok tu, kita jangan sampai mengganggu tugas dia. Kalau kita ambil sampai terjejas tugas2 pokok tu, kita juga akan merana.
HASSAN:
Betul kata Tok Imam, saya teringat kata arwah datuk saya, setiap pokok ni ada ruh, berzikir pada Allah. Setiap daunnya, setiap rantingnya. Kita mesti punya alasan kukuh untuk Ambil dia. Sebab tu dulu dia kata pastikan tujuan kita mengambil kayunya, atau apa sahaja benda yang kita mahu ambil dari alam ini, alasannya kukuh. Buat rumah, agar manusia terlindung dari bahaya. Dia ajarkan saya segala jenis bentuk pasak dan tanggam, supaya sumber hutan yang diberikan itu dapat digunakan kearah kebaikan. Tapi bila kita ambil lebih untuk perkara2 yang hanya menjadi kehendak, kita telah mengambil lebih dari apa yang sepatutnya, dan akibatnya, tengoklah sawah ni, kehidupan semua orang sekarang dalam kesusahan. Nasib baik saja tak ada yang mati dalam banjir hari tu.
IMAM ROS:
Sebenarnya datuk kamu tu bukan hanya pasakkan kayu merbau, tapi dia juga pasakkan pengajaran penting tu, untuk anak cucu, untuk kita semua. Dia sebenarnya mengingatkan kita, ambil dunia ini setakat perlu untuk kita sampai ke akhirat, jangan lebih. Kadang2, walaupun kita ambil hasil alam untuk benda yang kita rasa perlu, kena berhati2.
MANSUR:
Macamana kita nak tahu banyak ke sedikit yang kita nak ambil tu?
IMAM ROS:
Tak mudah, dan tak juga susah. Ada satu kali, Nabi s.a.w. nampak salah seorang sahabat mengambil air sembahyang dengan air yang banyak. Nabi kata kenapa membazir ni? Sahabat tu tanya, guna air untuk ambil air sembahyang pun boleh dikira membazir? Nabi Jawab, ya, walaupun andainya kau sedang mengambil wuduk di dalam sungai yang mengalir. Jadi, apa juga benda yang kita ambil, kita mesti fikir adakah perbuatan aku ini perlu, atau hanya ikut nafsu. Lepas tu kita kena fikir, banyak mana yang perlu. Jangan sampai terlebih dari keperluan.
MANSUR:
Maksudnya, semua ni berlaku atas sifat tamak, kita sentiasa rasa kita boleh dapat lebih banyak, lebih baik. Rumah lebih cantik, perabut lebih selesa. Bahkan kalau kita fikir, perang di dunia ini pun kebanyakannya sebab tamak.
HASSAN:
Betul juga tu. Inggeris dulu menjajah tanah Melayu, pun sebab tamak. Mereka nak hasil alam kita, dikoreknya bijih timah. Sedangkan negara mereka kekayaan dah melimpah ruah. Sekarang Jepun, berperang dengan semua orang, sebab tamak kuasa, tamak pengaruh. Saya sendiri pun sanggup tebang merbau semata2 nakkan duit Penghulu dan Seman yang mahukan kerusi pasak saya. Seman pula sanggup tebang hutan sirat tu sampai terang sebab nak buat duit dari kilang dia.
IMAM ROS:
Ada benda yang kita buat sebab perlu untuk kesejahteraan, tapi ada batas dan hadnya. Kalau kita ambil dunia ni untuk isi perut yang kosong, untuk buat tempat berlindung, untuk ada pakaian yang boleh menjaga maruah kita, bahkan untuk sedikit keselesaan, itu patut dan adil. Tapi Kadang2 bukan perut kita yang kosong, tapi roh kita yang kosong, jiwa kita yang miskin. Roh kita ni kalau lapar dia akan ingin banyak. Bila dia lapar, dia nak rumah besar, dia nak makan sedap, dia nak perabut baru, dia nak pakaian cantik2 dan mahal. Jadi untuk jaga supaya roh kita ni tak laparkan dunia, banyaklah ingat pada tuhan, banyak ingat pada kehidupan abadi di akhirat. Kalau roh kita penuh dengan rasa pengabdian kepada tuhan, kalau roh kita ni dah nampak kekayaan dan kemuliaan yang kekal di akhirat, dia tak akan laparkan dunia ini. Kita Cuma ambil setakat perlu sahaja.



HASSAN:
Insaf saya dengar kata tok Imam ni. Saya sendiri perasan bila tengok ramai orang yang hidup senang, ada kerusi meja jati berukir dalam rumah, saya pun jadi resah nakkan benda yang sama, sedangkan selama ni saya hidup dari kecil tak pernah pun perlukan semua tu. Kenapa tiba2, bila tengok orang lain ada, saya pun terasa seolah2 benda2 ni semua satu keperluan.
IMAM ROS:
Itu lumrah manusia San, sentiasa ada pergolakan dalam diri kita antara kesederhanaan dan pembaziran, antara kebaikan dan kejahatan. Kita perlu imbangkan dalam diri kita. Kalau tak, nanti tengoklah Allah perintahkan dunia ni imbangkan untuk kita. Jiwa kita tak seimbang, kita ambil lebih, kemudian seolahnya gunung Sirat mengamuk, dilimpahkan mendakkan di sungai, sampai jadi bencana banjir ni. Jadi kita pilih, kita nak kita imbangkan diri kita, atau alam semulajadi bertindak imbangkan dunia ini?
MANSUR:
Tentulah kit..
(Tiba-tiba kedengaran bunyi dentuman sayup2 dari jauh. Kesemua yang ada agak terkejut memandang ke arah gunung Sirat dari datangnya bunyi itu)



MANSUR:
Itu bukan guruh bunyi macam tu. Dari kelmarin saya dengar, itu bunyi meriam. katanya Orang putih dah mula berperang dengan Jepun. Apa nasib kita agaknya?
HASSAN:
Tak tahulah siapa yang menang. Yang saya tahu sekarang, siapa pun yang menang, selagi ada sifat tamak, akan ada yang merana nanti.
IMAM ROS:
Itu bunyi manusia sedang mencari lebih dari sepatutnya. Itu bunyi ketamakan insan. Peperangan sesama manusia memang dah berlaku ribuan tahun. Sebab jiwa manusia yang selalu tak seimbang. Apapun, kita berdoalah agar kita semua terlindung.
(Lalu Mengangkat tangan berdoa, dikuti semua yang lain)
Ya Allah, ampunilah dosa kami. Maafkanlah Kami, kasihanilah kami. Kami selalu melanggar kehendakmu, peraturanmu. Kami mohon agar kau lindungilah diri kami, keluarga kami, keturunan kami, bahkan seluruh   umat manusia, juga tanah ini, sawah ini, bumi ini dari segala bencana dan malapetaka. Lindungilah kami dari kejahatan orang yang zalim, dari kedegilan orang yang fasik, dari kesilapan orang yang jahil. Kami memohon perlindungan dari kejahatan, ketamakkan, kezaliman yang ada dalam diri kami sendiri. Kurniakanlah bagi kami kebaikan di dunia dan di akhirat nanti.
SEMUA:
Amin ya rabbil alamin.
(Setelah selesai berdoa, kesemuanya terdiam dan merenung ke kaki langit yang semakin merah, dengan dentuman meriam yang semakin kerap)

TAMAT


Untuk dapatkan ebook percuma manuskrip keseluruhan drama Pasak, sila muaturun di SINI.
(https://drive.google.com/file/d/12QFagK8c4SDyku6HfYFpnXT3Bt7C_4cr/view?fbclid=IwAR3Ce4jSJjsbImHeE5x-mVMQl6P0TLDpZIKKi-YGuTNeKyC4FNidcjwPsKw)

No comments:

Post a Comment