Monday 13 April 2020

PASAK: 3- SEKILAS IKAN DI AIR


(Babak: Prologue1, 2345, 678910Epilogue)

Di Rumah Penghulu Kasim. Waktu Siang.
Kelihatan seorang tua berserban, IMAM ROS, duduk di serambi bersama PENGHULU KASIM. Mereka duduk diatas kerusi tamu yang cantik beserta meja rendah yang sepadan. Kedua2nya baru pulang dari Masjid Selepas solat Asar. Isteri Penghulu Kasim Menghidangkan 2 cawan Kopi panas untuk kedua lelaki itu, Setelah selesai tugasnya dia pun bergegas masuk semula.
IMAM ROS:
Haa Kasim, apa hajat engkau sampai ajak aku singgah ni. Tak pernah2 kau ajak aku minum kopi di rumah engkau ni
 PENGHULU KASIM:
Tak adalah tuan haji, sekali sekala apa salahnya. Tuan haji pun bukannya ada kerja nak tergesa2 balik kan?
IMAM ROS:
Iyalah, bukan ada apapun yang aku nak kejar, Cuma tertanya2 apa hajat engkau ni? biasanya kalau ada apa-apa, kau dah cakap di masjid saja tadi.
PENGHULU KASIM:
(Ketawa Kecil).. Pandai Tuan haji. Yelah orang lama, bijaksana. Bak kata orang sekilas ikan di air dah tahu jantan betinanya.
IMAM ROS:
Alah bukan aku tak kenal engkau. Nak berkias kias pula. Cepatlah cakap, apa halnya.
PENGHULU KASIM:
Macamni tuan haji, Tuan haji pun tahu yang saya dah beli tanah sebelah masjid tu kan. Saya nak buat rumah di situ, Saya dah minta si Hassan buatkan rumah untuk saya.

IMAM ROS:
Ya aku tahu pasal tanah kau tu. Baguslah. Si Hassan tu pun katanya pandai buat rumah. Cuma sejak duduk kampung ni belum pernah lagi aku tengok dia bertukang.
PENGHULU KASIM:
Yelah tuan haji, kan di sini sawah arwah ayah dia ada. Bersawahlah dia. Lagipun bukan selalu orang nak buat rumah di Kampung ni. Yang sebenarnya dia memang bertukang semasa dia tinggal di Kampung Seberang tu. Masa tu dia jadi tukang rumah bekerja dengan arwah datuknya, Tok Sidang Damat.
IMAM ROS:
Hmm Aku ada dengar juga. Eh tapi, apa kena mengenanya dengan aku?
PENGHULU KASIM:
Begini. Rumah saya tu cadangnya nak gunakan kayu dari hutan Gunung Sirat tu. Kayu Merbau Kelawar. Kayu tu memang bagus untuk buat rumah. Cumanya nak tebang kayu tu kena mintak kelulusan Jabatan Rimba. Bukan ke anak saudara Tuan Haji, Si Mohsin tu Pengarah Jabatan tu?
IMAM ROS:
Oh baru aku faham. Iya memang betul. Si Mohsin tu dah 2 tahun jadi pengarah situ. Tapi tentang kayu merbau Kelawar ni, rasanya  dah tak boleh tebang lagi dah. Sejak sepuluh tahun lepas dah keluar arahan tak ada sesiapa dibenarkan menebang Merbau dari situ lagi. Bukan kah sebelum tu, tentu kau masih ingat, ada syarikat yang tebang begitu banyak sampai sungai kita ni jadi keruh. Kampung Hilir kan banjir teruk sebab mendakan tanah merah kat Kuala Serai.
PENGHULU KASIM:
Saya tahu ceritanya Tuan Haji. Tapi rasanya kalau setakat untuk buat sebuah dua rumah tak kan tak boleh? Tak luak rasanya hutan tu.
IMAM ROS:
Mungkin juga. Tapi, kenapa kau nak sangat merbau kelawar tu. Rasanya kedai papan di Setawar pun banyak kayu bagus, dah siap dipotong pun. Meranti, Balau, nyatoh, keruing, merbau biasa pun ada. Kau pesan saja pada Ah Chin, dia pun boleh hantar dengan lori.
PENGHULU KASIM:
Saya tahu tuan haji. Tapi Tuan haji cuba tengok rumah2 lama di Kampung kita ni, cuba bandingkan kayu dia dengan kayu lain. Bukan kah tak sama? Rumah2 lama tu semuanya gunakan Merbau kelawar dulu.
  
IMAM ROS:
Betul juga tu. Memang Rumah lama di Kampung ni cantik2. Kayunya tu yang buatnya cantik. Tapi itulah, dahulu tak ada masalah sebab penduduk gunakan kayu merbau tu  untuk buat rumah sendiri. Tapi bila ada syarikat yang tebang besar2an untuk dihantar ke Luar Negara, itu yang jadi masalah. Digasaknya berpuluh ekar sekali tebang. Bila hujan sungai mendak. Airnya rosak. Sawah pun tak menjadi waktu tu. Aku masih ingat lagi tahun tu orang Kampung terpaksa beli beras dari Setawar yang tak sesedap mana, sebab padi kita rosak dek banjir tu.
PENGHULU KASIM:
Tentu saya ingat, sawah saya yang 20 relung tu pun habis rosak. Tapi, nampak tak tuan haji, itu masalahnya kalau ditebang berpuluh ekar. Untuk Buat rumah setakat 4 5 buah rasanya tak akan jadi macam tu.
IMAM ROS:
Tak tahulah aku Kasim. Mungkin ada baiknya kau jumpa sendiri dengan Mohsin. Bolehlah kau bincang baik2 dengan dia. Hah, kebetulan petang besok dia nak datang ke rumah aku, nanti aku suruh dia singgah rumah engkau nanti.
  
PENGHULU KASIM:
Ha, baguslah kalau macam tu tuan haji. Eh Nak suruh dia datang sini ke atau saya datang ke rumah tuan haji jumpa dia disana?.
IMAM ROS:
Ada baiknya dia datang ke rumah engkau. Di sana nanti tak pasti pula boleh bincang benda ni ke tidak. Kami nak bincang pasal kenduri kahwin anak dia yang sulung tu. Dia nak buat majlis tu di Kampung ni. Takut tak dapat kamu berdua nak berbincang pasal ni di situ.
PENGHULU KASIM:
Baiklah kalau macam tu. Minta dia datang sini nanti. Terima kasih banyaklah tuan haji. Eh Jemput minum, sejuk pulak kopi ni nanti.
IMAM ROS:
Baik, baik (sambil menghirup kopi yang masih berasap)Wah sedap kopi ni Sim. Kopi apa ni? Beli kat mana ni?
PENGHULU KASIM:
Alah si Seman adik aku tu. Dia beli di Singapura. Kopi Afrika katanya. Dia bagi aku sekati.
  IMAM ROS:
Ohooo..
(Imam Ros tersengeh) Kopi Singapura… patutlah sedeppp… ( terus sambung menghirup sambil mata terpejam)

Untuk dapatkan ebook percuma manuskrip keseluruhan drama Pasak, sila muaturun di SINI.

(https://drive.google.com/file/d/12QFagK8c4SDyku6HfYFpnXT3Bt7C_4cr/view?fbclid=IwAR3Ce4jSJjsbImHeE5x-mVMQl6P0TLDpZIKKi-YGuTNeKyC4FNidcjwPsKw)

No comments:

Post a Comment