Monday 13 April 2020

PASAK: 8- TIKUS DAN ULAR


(Babak: Prologue1, 2345, 678910Epilogue)


Di Rumah Hassan. Waktu Petang.
MANSUR sedang duduk berbual bersama HASSAN. ROSNAH turut ada di Sebelah Hassan Suaminya.
MANSUR:
Hassan, Rosnah, aku datang ni hantar duit padi bahagian kamu tu. Maaflah Musim ni banyak ni sahaja yang kita dapat.
HASSAN:
Terima kasih Mansur, dah cukup dah ni. Aku tengok orang lain pun tak seberapa tuainya musim ni. Ini dah cukup bagus kau masih tolong sawah aku tu. Kau pun tahu, aku dengan kerja membuat rumah di Setenang, tak sempat kalau aku nak bersawah sekarang ni.
ROSNAH:
Betul Bang Mansur, Kami ni sekarang selalu ke sana. Kadang2 dua  hari baru balik. Kalaulah Bang Mansur anak beranak tak kerjakan sawah kami, agaknya tak bertanam langsung sawah kami musim ni.
MANSUR:
Memang ramai yang tak ke sawah tahun ni. Kau pun tahu, sejak Kilang Si Seman tu di buka, ramai anak orang kampung ni kerja di situ. Itu sebabnya banyak sawah tak diusahakan tu. Yelah, kalau yang kerja kilang tu, yang rajin boleh dapat gaji sebulan sampai tujuh lapan puluh ringgit. Sama macam dapat jual beras satu musim. Siapa yang tak nak San. Si Nasa tu, budak engkau dulu tu, katanya gaji dia sebulan sekarang dah seratus dua puluh ringgit. Bukan main bergaya lagi aku tengok dia sekarang.
HASSAN:
Dah rezki dia Mansur. Aku pun tumpang gembira tengok dia berjaya. Kalau dia masih kerja dengan aku macam dulu, mungkin tak semewah sekarang ni. Ramai orang nak marahkan dia berhenti kerja dengan aku. Aku rasa itu hak dia. Ilmu bertukang yang aku ajarkan pada dia ni dia gunakan untuk menguruskan kilang kayu tu. Aku rasa ada eloknya juga.
ROSNAH:
Memanglah elok pada dia bang. Tapi yang saya risaukan, kilang tu sekarang keluarkan kayu merbau beratus batang sebulan. Tak tahu dah apa jadi kat Hutan Gunung Sirat tu, entah entah dah jadi padang jarak padang tekukur. Nasib baik lah daerah ni tak dilanda banjir macam dulu.
MANSUR:
Betul kata kau Rosnah. Ini satu lagi yang aku risau San. Bila hujan air sungai sekarang selalu  keruh dan merah. Pasal banyak merbau di tebang tulah. Nak memancing pun ikan dah kurang. Bila kita tahan air untuk limpahkan kesawah, naik takut aku tengok air dalam petak sawah merah macam teh susu. Aku rasa itu salah satu sebabnya beras kita dah tak sesedap dulu.
HASSAN:
Mungkin benar juga. Tapi, sebab itu jugakah tuaian padi kita merosot? Sebab air sungai tu ke?
MANSUR:
Rasanya bukan sebab tu. Tapi sebab tikus. Tikus makin mengganas sekarang. Tahu apa sebab tikus banyak sekarang? Sebab banyak petak sawah dah tak diusahakan. Yelah orang yang dah beralih kerja ke kilang tak turun ke sawah lagi, sawah terbiar jadi semak, jadi sarang tikus. Jadi tikus tertumpu pada petak yang ada padi. Kalau dulu memang tikus ada, tapi masa tu sawah kampung ni semua diusahakan, kesan serangan tikus tak begitu terasa, sebab kawasan luas, padi banyak.
HASSAN:
Bila dah jadi macam ni, aku rasa sedih pun ada, menyesal pun ada. Aku rasa ini semua salah aku.
ROSNAH:
Sudahlah bang, janganlah fikir kesitu. Ini dah takdir. Dunia berubah. Kalau bukan kerana abang, tentu ada sahaja orang lain yang akan buat benda yang sama. Baik kita fikir apa yang kita boleh buat sekarang.
MANSUR:
(Memandang Hassan)
Salah engkau? Eh Kenapa kau kata benda ni terjadi salah engkau?
ROSNAH:
Bukan apa Bang Mansur, Bang Hassan ni terkenang sewaktu Tok Penghulu Kasim minta dia buat kerusi tamu dia dulu. Kisahnya dari Kerusi tulah orang luar mula minat dengan kayu merbau kelawar hutan Gunung Sirat. Dari jualan kerusi tu jugalah Seman dapat duit buat kilang untuk jual barangan kayu merbau tu sampai ke Singapura. Bila dia dah buka kilang tu, ada alasanlah dia dapat permit bawak keluar Merbau banyak macam tu.
MANSUR:
Macam tu. Alah, Tak usahlah kau nak salahkan diri kau San. Benda kalau ada harga lama kelamaan akan diambil orang juga. Kalau bukan engkau, entah siapa pulalah yang datang tebas hutan merbau tu dengan alasan apa pulalah kita tak tahu. Dunia sedang berubah sekarang. Tengok saja kita sekarang ni, kalau dulu aku datang rumah engkau ni duduk minum atas lantai. Sekarang ni atas kerusi kayu jati. Dunia berubah San.
HASSAN:
Memanglah berubah Mansur. Tapi Kalau perubahan tu setakat, dulu duduk dilantai, sekarang duduk atas kerusi, apa perubahannya? Kita masih sama. Pemikiran kita masih sama. Yang betul2 berubah ialah sekarang sawah dah tak subur, tuaian dah kurang, sungai dah keruh, Ikan dah susah ditangkap.
MANSUR:
(Terdiam) Mungkin itu harga yang kita terpaksa bayar untuk berubah. Tapi, bukan ke dengan duit yang orang kampung dapat dari kilang tu, mereka boleh beli beras dan ikan di Pekan? Mereka dah tak perlu membajak menyemai tengah sawah yang panas. Kerja dalam Kilang yang teduh, hujung bulan dapat duit ke pekan beli belanja dapur. Kan senang macam tu?
HASSAN:
Beli beras dan makanan dari Pekan? Habis beras di pekan tu siapa yang tanam? Orang Siam? Kemudian kita tak terfikir ke, kenapa orang siam tu masih menamam padi? Mereka tak nak berubah juga ke? Mereka tak nak beralih kerja kilang juga ke? Kalau satu dunia fikir macam ni, nanti semua orang ada duit tapi tak ada orang ada beras.
MANSUR:
Entahlah San, aku tak terfikir sampai ke situ pulak. Tapi sebenarnya san, bila keadaan macam ni. Aku pun rasa macam serik nak terus bersawah. Kalau dulu semusim boleh dapat 700-800 gantang. Sekarang nak dapat 500 gantang pun belum tentu. Dengan airnya macam tu, dengan tikusnya lagi. Penat San.
ROSNAH:
Kalau abang mansur tak nak buat sawah lagi, abang nak buat apa pulak?
MANSUR:
Tak tahulah, silap2 aku pun mintak kerja kat kilang Seman tu. Dah itu aje pekerjaan yang nampaknya ada kat kampung ni. Anak aku sorang dah memang kerja situ.
HASSAN:
Aku pun tak tahu nak cakap macamana Mansur. Takkan aku nak paksa engkau terus bersawah kalau dah begini keadaannya. Tapi aku sayangkan sawah kampung kita ni. Sedih aku tengok petak2 yang terbiar jadi sarang tikus sarang ular.
MANSUR:
Dah tak usahlah kita meratap je San. Engkau tak ada masalah. Duit dah banyak. Kerja bertukang engkau dengan buat kerusi tak berhenti aku tengok. Kalau aku tak buat sawah engkau pun engkau boleh beli beras dari Setawar. Apa kau susahkan san.
ROSNAH:
Janganlah cakap macam tu Bang Mansur. Kami seboleh2nya nak rasa beras sendiri. Lain. Di Setenang tu merasa juga makan beras Siam. Tapi tak sama. Beras Kita juga sedap.
MANSUR:
Tapi sekarang ni beras kita dah lain. Sejak Balak tu ditebang, dah tak sama dah.
HASSAN:
Kita sebenarnya buat pilihan yang salah. Cuba fikir. Kita ada pilihan, Nak jual balak atau nak jual beras. Dulu Kita boleh hidup dengan jual beras. Sampai ke Singapura beras kita mahal harganya. Sekarang kita dah beralih buat kilang dan potong balak. Kita dapat duit dari kilang, lebih banyak dari bersawah. Tak payah berpanas membanting tengah sawah. Cukup bulan beli beras siam yang murah, tapi tak berapa sedap. Jadi apa yang kita pilih?
MANSUR:
Sudah tentu orang pilih bekerja kilang san. Duitnya lebih, kerjanya senang.
ROSNAH:
Tapi saya terfikir satu benda Bang Mansur. Kalau beras yang kita beli dari Siam tu Putus? Bolehkah kita bersawah balik? Sanggup ke?
MANSUR:
Maksud kau, kalau orang siam dah kehabisan beras?
HASSAN:
Beras dari Siam tak akan habis rasanya. Aku tengok di Pelabuhan Setawar tiap2 minggu berderet2 tongkang siam bawa beras. Ada yang terus ke Singapura hantar beras.
ROSNAH:
Tapi yang saya risau apa jadi kalau tiba2 kapal2 tu tak boleh masuk. Apa jadi kalau perang? Dengar Kabarnya, Jepun dah mula nak masuk ke Tanah Melayu ni. Masa saya dan Abang Hassan ke Setawar kelmarin,  terdengar ramai yang cakap orang putih dah mula nak lari balik ke England. Siapa yang jaga pelabuhan nanti? Beras Siam boleh masuk ke? Kalau Jepun memerintah, ada tak kemungkinan beras semua dihantar ke Jepun?. Yelah, Jepun dah banyak berhabis untuk perang.
MANSUR:
Eh betul ke ni Rosnah, Hassan? Takkan sampai nak tutup pelabuhan? Jepun ke Orang Putih ke mesti nak pakai kapal juga kan?
ROSNAH:
Kalau tak tutup dek perang, mungkin kena tutup sebab lain. Ingat tak masa kes wabak penyakit masa kita kecil dulu?. Katanya masa tu Orang putih tak benarkan siapa2 keluar masuk daerah. Kapal pun tak boleh berlabuh. Katanya takut wabak dari Singapura masuk daerah ni.
MANSUR:
Ya aku ingat. Ramai yang mati di ladang getah orang putih sebab wabak tu. Kapal ke, lori ke semua tak boleh melintas daerah. Tapi kita masa tu tak rasa apa pun. Beras Ada. Kambing Lembu ayam semua kita bela sendiri. Ikan senang je dapat dari Sungai.
 ROSNAH:
Itulah yang saya cakap. Kalau kita semua beralih ke Kilang, tak ada orang ke sawah, dah tak ada sumber makanan, kebulur kita kalau ada kecemasan.
MANSUR:
Betul juga cakap kau ni Rosnah. Aku tak pernah terfikir macam tu. Tapi kalau aku dengan beberapa kerat saja yang nak pertahankan sawah, sedangkan yang lain semua kekilang, berat juga rasanya. Kami saja yang berpanas, berlumpur, dapat tak seberapa pula tu. Sedangkan orang lain duduk dalam kilang teduh, tiap bulan dapat duit yang cukup.
HASSAN:
Harap2nya pemerintah fikir cara yang baik supaya kita tak terjerat. Tak bolehlah semata2 fikirkan duit dan kesenangan sampai kita gadaikan keselamatan makanan kita, hutan kita. Mesti ada rancangan yang baik. Tapi entahlah, mungkin Orang Putih sekarang cuma fikir nak lari balik ke England. Takkan dia nak fikir benda ni semua.
MANSUR:
Orang Putih boleh lari balik England, kita nak lari kemana?
(Semua terdiam babak berakhir dengan kesuraman)


Untuk dapatkan ebook percuma manuskrip keseluruhan drama Pasak, sila muaturun di SINI.


No comments:

Post a Comment