Monday 13 April 2020

PASAK: 7- SERATUS BATANG MERBAU


(Babak: Prologue1, 2345, 678910Epilogue)


Di pejabat Pengarah Jabatan Rimba Daerah. Waktu siang
Suasana di dalam sebuah pejabat sederhana. Terdapat satu set sofa. SEMAN, dan MOHSIN sedang duduk.
MOHSIN:
Kilang yang Encik Seman nak buat ni hampir 4 ekar. Besar ni. Tanah siapa ni ya?
SEMAN:
Ini tanah anak kampung tu juga. Tanah sawah asalnya. Dengan duit jual tanah tu tak payah mereka bersawah lagi. Tambahan pula, saya beri mereka dan anak2 kampung jawatan dan pekerjaan di Kilang tu.
MOHSIN:
Baguslah kalau macam tu. Tapi sayang juga tanah sawah tu. Sawah Kampung Encik Seman ni istimewa. Beras nya kalau jual sampai ke Singapura mahal harganya.
SEMAN:
Betul tu. Tapi jangan risau, banyak lagi sawah di Kampung tu. Ramai lagi yang bersawah. Cuma ada satu lagi kelebihan Kampung tu yang berharga. Kita ada tukang yang mahir dan berseni. Kilang saya ni gunakan kelebihan anak Kampung juga yang tak patut disia2kan.
MOHSIN:
Oh maksud nya Bang Hassan dan anak buahnya? Kabarnya Encik Seman jualkan perabot yang mereka buat di Kota Setawar dan sampai ke Singapura. Pandai betul Encik Seman Berniaga. Jadi, nanti, Abang Hassanlah yang akan jadi pengurus kilang tu ya.
SEMAN:
Saya memang asalnya minta dia jadi pengurus. Tapi nampaknya Hassan tak nak beralih dari bertukang rumah. Dia tak nak buat perabut besar2an. Katanya sepatutnya perabut tu Cuma hasil sampingan sahaja. Jadi saya terpaksa ambil Anak buahnya, Nasarudin untuk jadi pengurus kilang tu. Tak dapat rotan akar pun berguna.
MOHSIN:
Boleh ke Anak buah Hassan tu, siapa namanya, Nasaruddin? Buat perabut secantik kerja Abang Hassan tu?
SEMAN:
Untuk Kilang ni, saya tak buat kerusi buatan Hassan tu. Itu dia buat dirumahnya sendiri. Saya sebenarnya ada rancangan lain. Sepanjang saya jualkan kerusi Hassan tu, saya dapat banyak permintaan lain selain dari kerusi tu. Ada yang ingin buat Katil, Almari, barang perhiasan. Yang ini Nasruddin boleh uruskan dengan tenaga muda dikampung tu. Pembeli sebenarnya sangat sukakan perabut dan barang perhiasan rumah yang dibuat dengan merbau kelawar tu. Tak jumpa di tempat lain. Jadi, sebab tulah hari ni saya datang ke pejabat ni.
MOHSIN:
OH macam tu pula ye. Biar saya teka, Encik Seman nak permit keluarkan Merbau tu dengan banyak ya?
SEMAN:
Haa betul lah tu. Pandai Encik Mohsin meneka. Setakat ni kami Cuma ada permit keluarkan sepuluh batang sebulan dari hutan tu, tapi permintaan melebihi apa yang kami keluarkan. Jadi tujuan saya datang ni supaya permit tu ditambah lagi.
MOHSIN:
Berapa batang yang Encik Seman nak?
SEMAN:
Kalau boleh seratus batang sebulan?
MOHSIN:
Wah banyak tu. Boleh ke kilang tu proses seratus batang sebulan kayu tu?
SEMAN:
Sebenarnya begini Encik Mohsin. Kami Cuma gunakan dalam 5-6 batang sahaja sebulan untuk buat perabut dan perhiasan. Tapi kami dapat permintaan untuk buat papan dan kayu merbau oleh saudagar dari singapura. Jadi cadangannya, selebihnya akan diproses jadi kayu dan papan untuk dijual. Seperti yang encik Mohsin tahu, Kayu merbau kelawar tu istimewa. Ramai peminatnya. Orang Singapura tu kata, banyak permintaan dari eropah untuk Merbau Kelawar tu.
MOHSIN:
Nampaknya Encik Seman bukan setakat jual seni pertukangan anak kampung ya, tapi jual dengan pokok2nya sekali.
SEMAN:
Taklah macam tu. Saya rasa apa salahnya kita gunakan benda bernilai yang kita ada untuk memajukan anak tempatan. Kilang tu nanti akan ambil lagi tiga puluh pekerja, semuanya anak kampung. Ekonomi mereka akan lebih baik. Anak2 muda dikampung tu takkan semuanya nak ke sawah. Mereka juga punya tenaga untuk buat benda baharu. Kalau dikampung lain, saya tengok anak mudanya semua terpaksa berhijrah ke bandar untuk bekerja, kerana tak ada peluang bekerja dikampung mereka. Ini peluang bagus ntuk kita wujudkan pekerjaan di Kampung itu sendiri.
MOHSIN:
(Terdiam memikirkan kata kata Seman) Ada benarnya hujah Encik Seman. Memang kita perlu mencipta peluang pekerjaan baharu. Tapi… kalau seratus batang tu rasanya banyak sangat. Apa yang kami di Pejabat Rimba khuatir ialah kesan pada tanah dan sungai. Dulu kita larang sebab kesan banjir di Kuala Sungai Serai. Kami telah merujuk pada Jabatan Saliran dan Sungai dan mereka sahkan puncanya pembalakan pokok Merbau di Hutan Sirat Oleh syarikat inggeris itu dahulu.
SEMAN:
Saya telah kaji masalah ini dan kami ada perancangan. Apabila penebangan dibuat kelak, kami akan tempatkan mesen pengorek di Kuala Serai untuk mendalamkan sungai pada setiap minggu. Saya telah meminta jurutera di Jabatan Sungai untuk membuat pengiraan. Kata dia, bila musim hujan Kuala Serai perlu dikorek 2 minggu sekali untuk mengelakkan Banjir. Kami akan korek seminggu sekali.



MOHSIN:
Oh dah berjumpa dengan Pegawai sana ya. Tapi, masalah yang akan timbul nanti bukan setakat masalah banjir. Pokok Merbau tu tumbuh berhampiran dengan gua kelawar yang banyak ada di gunung Sirat tu. Salah satu sebab kayu merbau tu jadi istimewa, ialah bila hujan, air yang mengalir dari gua-gua kelawar tu membawa khasiat tertentu kepada pokok merbau di situ. Sebab itulah orang dahulukala menggelarnya merbau kelawar. Air yang sama juga mengalir masuk ke Sungai Serai dan seterusnya Sungai Tenaling yang mengairkan sawah2 di Kampung sekitar. Sebab itu Juga padi dari sawah sekitar Sungai di daerah ini istimewa rasanya. Kami bimbang sekiranya perubahan mendadak pada hutan Gunung Sirat tu akan mengancam kelawar yang ada di gua2 disitu, dan menganggu hasil padi penduduk kampung.
SEMAN:
Tapi tuan, masalah utama ialah banjir, yang itu kami akan pastikan tak terjadi. Airnya tetap sama. Gua kelawar tu tidak akan kami usik. Beginilah Tuan. Saya tak akan buat sesuatu yang mengancam kemaslahatan orang kampung. Niat saya memang nak bantu orang kampung kearah kehidupan yang lebih baik. Kalau betul kata tuan gua kelawar tu penting untuk padi dan merbau tu, kami akan buat perancangan agar merbau di sekitar gua kelawar itu tidak diusik. Kami pun tahu, merbau di sekitar gua tu masih muda sebab ditebang oleh syarikat yang dahulu. Kami serahkan kepada pejabat tuan untuk mewartakan kawasan mana yang boleh ditebang dan mana yang tak boleh. Kami akan ikut sahaja.
MOHSIN:
Nampaknya Encik Seman dah bersungguh2 nak buat kilang ni. Beginilah. Saya tak boleh buat keputusan sendiri. Perkara sebegini sebenarnya perlu dibawa ke Mesyuarat Pengurusan Negeri. Residen Kaunselor yang akan pengerusikan mesyuarat tu.
SEMAN:
Baiklah kalau begitu. Sebenarnya untuk pengetahuan Encik Mohsin, saya ada membuka mulut dengan Residen Kaunselor sendiri. Dia kawan saya sama2 bermain golf di Kelab Golf Kota Setawar. Dia faham niat saya dan dia pun nampaknya menyokong usaha saya ini.
MOHSIN:
Oh begitu? Memang cepat betul Encik Seman buat kerja ya. Tak apalah, saya akan bawakan. Cuma saya minta kertas cadangan kilang tu. Kalau boleh nyatakan perancangan penebangan dan kesan ekonomi pada penduduk kampung. Satu lagi saya akan minta surat pengesahan kerja menggali Kuala Sungai Serai dari Jabatan Sungai dan Saliran.


SEMAN:
Terimakasihlah Encik Mohsin sebab sudi pertimbangkan permohonan saya ni. Insya Allah benda baik kita sama2 dapat berkat. Baiklah saya minta diri dahulu. Eh, Encik Mohsin tak main golf ke? Kalau Nak kita boleh main sama. Hujung minggu saya akan bermain dengan Residen Kaunselor. Nak ikut tak?
MOHSIN:
(Ketawa Kecil) Saya ni pegang kayu golf pun tak pernah. Tak apalah. Sampaikan saja salam saya pada Tuan Kounselor.
SEMAN:
Baiklah kalau begitu. Assalaamualaikum
MOHSIN:
Walaikumussalam.
     Blackout

Untuk dapatkan ebook percuma manuskrip keseluruhan drama Pasak, sila muaturun di SINI.
(https://drive.google.com/file/d/12QFagK8c4SDyku6HfYFpnXT3Bt7C_4cr/view?fbclid=IwAR3Ce4jSJjsbImHeE5x-mVMQl6P0TLDpZIKKi-YGuTNeKyC4FNidcjwPsKw)

No comments:

Post a Comment