Monday 13 April 2020

PASAK: 5- RUMAH BARU PENGHULU


(Babak: Prologue1, 2345, 678910Epilogue)


Setahun kemudian, Di Rumah Penghulu Kasim yang Baharu. Waktu siang.
Kelihatan Tok PENGHULU KASIM duduk di kerusi dan meja tamu di Serambi rumah itu. Duduk bersamanya ialah HASSAN.
PENGHULU KASIM:
Hassan, aku puas hati sungguh dengan hasil kerja engkau ni, saling tak tumpah halus seninya macam yang dibuat arwah Datuk kau.
HASSAN:
Terima kasih Tok, Saya rasa terhutang budi dengan Tok sebab beri saya peluang untuk buat rumah Tok dan rumah Seman. Sejak tu rezeki saya tak putus tok. Seman pula kenalkan saya pada kenalan dia di Kampungnya, tahun ni saja ada 3 buah rumah lagi saya akan buat.
PENGHULU KASIM:
Alhamdulillah. Memang rezki engkau Hassan. Tak sia2 Tok Sidang Damat turunkan ilmu bertukang pada kau. Maksudnya, Sekarang ni kau tak ke sawah lagilah ye?
HASSAN:
Tak lagi tok. Sawah saya sambung pajakkan pada Mansur. Dia tolong usahakan dan jualkan dan kami kongsi hasil. Itu pun tak habis makan. Hasil dari bertukang rumah tu Alhamdulillah bolehlah saya hidup selesa sikit.
PENGHULU KASIM:
Bagus tu San. Kau tahu semua orang yang datang ke rumah aku ni bertanya siapa tukangnya. Aku pun jual nama kau. Siapa lagi nak naikkan nama anak Kampung ni kalau bukan kita sendiri kan. Tapi kau tahu apa yang paling diorang suka?
HASSAN:
Apa dia tok?
PENGHULU KASIM:
Ini, kerusi yang kita duduk ni. Kau buat dari kayu merbau yang lebihan. Mereka suka sangat tengok kerusi ni. Ada yang bertanya bolehkah aku minta engkau buatkan sepasang untuk mereka. Aku kata tanyalah engkau sendiri.
HASSAN:
Kerusi ni? Alahai ini saya buat ikut ilham sendiri sahaja tok. Saya rasa Kerusi Jati Tok di tengah rumah tu lagi cantik.
PENGHULU KASIM:
Kerusi dan meja makan Jati tu?. Alah kat Bandar sana dah ramai yang buat perabot jati macam tu. Tapi kerusi yang kau buat ni pakai pasak dan tanggam, tak pakai paku sebatang pun. Itu yang mereka kagum. Kerusi Jati Bandar tu semua berpaku. Tak tahan lama. Kalau paku tu karat rosak kerusi tu. Satu lagi kayu Merbau Kelawar Kampung kita ni lain dari yang lain. Cantik warna dan iranya.
HASSAN:
Oh begitu. Memang saya tak guna kan paku. Arwah Datuk saya kata besi ni bukan kawan baik kayu. Itu sebabnya saya guna pasak dan tanggam. Tentang Merbau Kelawar tu memang arwah Datuk beritahu kayu tu istimewa. Pesannya, kalau boleh jagalah hutan tu, sebab tak tumbuh di tempat lain di semenanjung ni.
PENGHULU KASIM:
Itulah istimewanya. Baiklah Hassan. Boleh tak kau buatkan kerusi macam ni beberapa pasang lagi?
HASSAN:
Boleh je tuk, tapi.. di mana saya nak cari kayu merbau kelawar tu, ada lagi ke kayu lebihan orang buat rumah? Sebabnya merbau kelawar saja yang saya boleh buat pasak dan tanggam sebegini. Saya pernah cuba pakai merbau biasa tapi tak begitu baik hasilnya.
PENGHULU KASIM:
Alah tak payah tunggu lebihan, keluarkan saja kayu Merbau Kelawar tu lagi dua batang dari hutan tu. Banyak kerusi kau boleh buat tu. Jangan Takut, Jabatan Hutan dah bagi kelulusan untuk anak Kampung keluarkan merbau kelawar tu. Aku boleh keluarkan surat akuan ke Pejabat Rimba nanti.
HASSAN:
(Hassan Termenung seketika. Ada susuatu yang bermain dibenaknya) Kalau betul begitu baiklah tok. Saya akan kumpulkan budak2 saya untuk bawa keluar kayu tu. Tapi macamana dengan belanjanya tok?
PENGHULU KASIM:
Eh tentulah ada bayarannya. Aku sebenarnya dah berbincang dengan Seman. Dia suruh aku Tanya, kalau dia beli dengan harga sepuluh ringgit setiap kerusi, kau sanggup?
HASSAN:
(Hassan Mencongak seketika) Bolehlah tu tok. Tapi kalau saya keluarkan dua batang merbau, saya anggarkan boleh buat dua puluh kerusi tu Tok, Takkan dia nak banyak macam tu. Berapa yang dia nak sebenarnya?
PENGHULU KASIM:
Tentang tu kau jangan risau, Seman tu kan orang berniaga, dia dah tahu kat mana dia boleh jual kerusi2 kamu tu.
HASSAN:
(Tertawa sedikit) Abang Seman tu memang panjang akal dia. Tapi betullah, dibandar tu memang semua nak kerusi sekarang. Orang dah tak duduk atas lantai lagi nampaknya.
PENGHULU KASIM:
Haha, Kebanyakan di Bandar tu rumah batu, lantainya simen. Sejuk punggung kalau duduk atas lantai San…
(Mereka sama2 ketawa)
HASSAN:
Baiklah tok, saya minta diri dulu. Saya janji dengan Rosnah tadi nak beli barang di kedai Maimun. Takut tutup pulak kedai tu.
PENGHULU KASIM:
Nanti kejap, (Tok Penghlu Kasim menyeluk poket baju melayunya dan menghulurkan suatu sampul kepada Hassan) Ambil ni San. Ini buat belanja permulaan kau dan budak2 kau nak keluarkan kayu. Lima puluh tu. Cukup tak?
HASSAN:
Eh, Macam dah rancang awal2 lagi ni Tok. Tapi bagus juga tok. Budak2 saya tu pun sekarang ni tak ada pendapatan sementara menunggu naik tiang rumah baru bulan depan di Setenang. Insya Allah cukup ni. Bolehlah mereka beli belanja dapur.
TOK PENGHULU KASIM:
Seman yang bagi duit tu. Dia yang beria sangat nak mintakan kau buat kerusi2 tu. Baiklah, nanti kalau ada apa2 keperluan kau bagi tahu aku.
HASSAN:
Baik. Terimakasih Tok. Saya minta diri dulu. Assalaamualaikum.
TOK PENGHULU KASIM:
Waalaikumussalam.
Blackout

Untuk dapatkan ebook percuma manuskrip keseluruhan drama Pasak, sila muaturun di SINI.
(https://drive.google.com/file/d/12QFagK8c4SDyku6HfYFpnXT3Bt7C_4cr/view?fbclid=IwAR3Ce4jSJjsbImHeE5x-mVMQl6P0TLDpZIKKi-YGuTNeKyC4FNidcjwPsKw)

No comments:

Post a Comment