HASSAN,
IMAM ROS dan MANSUR berdiri di tepi jalan di tepi sawah dan memandang jauh ke
tengah sawah.
IMAM ROS:
Nampaknya Tahun ni tak berberas kita. Di Setawar pun orang kata
beras dah tak ada, sebab kapal tak masuk. Semua orang takut perang sampai ke
sini.
HASSAN:
Nampaknya semua kena tanam ubi keledek. Itu saja yang cepat.
Musim padi lambat lagi. Tapi itulah, makan ubi ni boleh tampung lapar saja.
Tapi orang kampung akan jadi kurus dan lemah.
MANSUR:
Agaknya kalau hutan gunung sirat tu tak diusik, mungkin tak jadi
bencana ni.
HASSAN:
Memang pembalakan di situ menjadi punca bencana ni. Tapi asal
usulnya kita juga. Kita yang tebang pokok2 tu, tanah masuk ke sungai, sungai
mendak, air naik bila hujan.
IMAM ROS:
Nasib baik rumah2 di kampung Sawah Hulu ni tak teruk di naiki
air macam di Kampung Hilir. Tapi tengoklah apa jadi pada sawah2 ni. Mungkin
inilah tuhan nak tunjuk kepada kita. Selama ni kita anggap semua benda akan
sentiasa ada, sentiasa kekal. Tak akan ada masalah. Bila terjadi bencana, baru
kita sedar kita ni kerdil, mudah binasa.
HASSAN:
Saya terfikir Tok Imam, kalaulah saya tak ikutkan kehendak si
Seman untuk tebang kayu dibuat kerusi asal dulu, mungkin semua ni tak terjadi.
MANSUR:
Tapi yang menebang pokok tu bukan engkau Hassan. Dulu kau tebang
pun setakat untuk keperluan anak kampung. Namun sejak kilang tu dibuka, habis
di tebang sampai padang jarak padang tekukur jadinya. Kilang si Seman tulah puncanya.
IMAM ROS:
Ini bukan masanya nak salahkan sesiapa. Tapi kita harus lihat
diri kita sendiri. Kita Semua. Semasa Kilang tu dibuka, kita semua fikir yang
baik, dapat rezeki yang lebih, dan mudah. Kita fikir dapat kerusi cantik, dapat
duit lebih, dapat itu dapat ini. Tapi kita terlepas pandang tentang hubung kait
alam semula jadi ni. Kita nak kayu merbau kelawar tu, pokok merbau kelawar dan
pokok lain di hutan tu ada tugas, memegang tanah, menapis air hujan agar sungai
tak berkeladak. Sepatutnya, semasa kita ambil pokok tu, kita jangan sampai
mengganggu tugas dia. Kalau kita ambil sampai terjejas tugas2 pokok tu, kita
juga akan merana.
HASSAN:
Betul kata Tok Imam, saya teringat kata arwah datuk saya, setiap
pokok ni ada ruh, berzikir pada Allah. Setiap daunnya, setiap rantingnya. Kita
mesti punya alasan kukuh untuk Ambil dia. Sebab tu dulu dia kata pastikan
tujuan kita mengambil kayunya, atau apa sahaja benda yang kita mahu ambil dari
alam ini, alasannya kukuh. Buat rumah, agar manusia terlindung dari bahaya. Dia
ajarkan saya segala jenis bentuk pasak dan tanggam, supaya sumber hutan yang
diberikan itu dapat digunakan kearah kebaikan. Tapi bila kita ambil lebih untuk
perkara2 yang hanya menjadi kehendak, kita telah mengambil lebih dari apa yang
sepatutnya, dan akibatnya, tengoklah sawah ni, kehidupan semua orang sekarang
dalam kesusahan. Nasib baik saja tak ada yang mati dalam banjir hari tu.
IMAM ROS:
Sebenarnya datuk kamu tu bukan hanya pasakkan kayu merbau, tapi
dia juga pasakkan pengajaran penting tu, untuk anak cucu, untuk kita semua. Dia
sebenarnya mengingatkan kita, ambil dunia ini setakat perlu untuk kita sampai
ke akhirat, jangan lebih. Kadang2, walaupun kita ambil hasil alam untuk benda
yang kita rasa perlu, kena berhati2.
MANSUR:
Macamana kita nak tahu banyak ke sedikit yang kita nak ambil tu?
IMAM ROS:
Tak mudah, dan tak juga susah. Ada satu kali, Nabi s.a.w. nampak
salah seorang sahabat mengambil air sembahyang dengan air yang banyak. Nabi
kata kenapa membazir ni? Sahabat tu tanya, guna air untuk ambil air sembahyang
pun boleh dikira membazir? Nabi Jawab, ya, walaupun andainya kau sedang
mengambil wuduk di dalam sungai yang mengalir. Jadi, apa juga benda yang kita ambil,
kita mesti fikir adakah perbuatan aku ini perlu, atau hanya ikut nafsu. Lepas
tu kita kena fikir, banyak mana yang perlu. Jangan sampai terlebih dari
keperluan.
MANSUR:
Maksudnya, semua ni berlaku atas sifat tamak, kita sentiasa rasa
kita boleh dapat lebih banyak, lebih baik. Rumah lebih cantik, perabut lebih
selesa. Bahkan kalau kita fikir, perang di dunia ini pun kebanyakannya sebab
tamak.
HASSAN:
Betul juga tu. Inggeris dulu menjajah tanah Melayu, pun sebab tamak.
Mereka nak hasil alam kita, dikoreknya bijih timah. Sedangkan negara mereka
kekayaan dah melimpah ruah. Sekarang Jepun, berperang dengan semua orang, sebab
tamak kuasa, tamak pengaruh. Saya sendiri pun sanggup tebang merbau semata2
nakkan duit Penghulu dan Seman yang mahukan kerusi pasak saya. Seman pula sanggup
tebang hutan sirat tu sampai terang sebab nak buat duit dari kilang dia.
IMAM ROS:
Ada benda yang kita buat sebab perlu untuk kesejahteraan, tapi
ada batas dan hadnya. Kalau kita ambil dunia ni untuk isi perut yang kosong, untuk
buat tempat berlindung, untuk ada pakaian yang boleh menjaga maruah kita, bahkan
untuk sedikit keselesaan, itu patut dan adil. Tapi Kadang2 bukan perut kita
yang kosong, tapi roh kita yang kosong, jiwa kita yang miskin. Roh kita ni
kalau lapar dia akan ingin banyak. Bila dia lapar, dia nak rumah besar, dia nak
makan sedap, dia nak perabut baru, dia nak pakaian cantik2 dan mahal. Jadi
untuk jaga supaya roh kita ni tak laparkan dunia, banyaklah ingat pada tuhan,
banyak ingat pada kehidupan abadi di akhirat. Kalau roh kita penuh dengan rasa
pengabdian kepada tuhan, kalau roh kita ni dah nampak kekayaan dan kemuliaan
yang kekal di akhirat, dia tak akan laparkan dunia ini. Kita Cuma ambil setakat
perlu sahaja.
HASSAN:
Insaf saya dengar kata tok Imam ni. Saya sendiri perasan bila
tengok ramai orang yang hidup senang, ada kerusi meja jati berukir dalam rumah,
saya pun jadi resah nakkan benda yang sama, sedangkan selama ni saya hidup dari
kecil tak pernah pun perlukan semua tu. Kenapa tiba2, bila tengok orang lain
ada, saya pun terasa seolah2 benda2 ni semua satu keperluan.
IMAM ROS:
Itu lumrah manusia San, sentiasa ada pergolakan dalam diri kita
antara kesederhanaan dan pembaziran, antara kebaikan dan kejahatan. Kita perlu
imbangkan dalam diri kita. Kalau tak, nanti tengoklah Allah perintahkan dunia
ni imbangkan untuk kita. Jiwa kita tak seimbang, kita ambil lebih, kemudian seolahnya
gunung Sirat mengamuk, dilimpahkan mendakkan di sungai, sampai jadi bencana
banjir ni. Jadi kita pilih, kita nak kita imbangkan diri kita, atau alam
semulajadi bertindak imbangkan dunia ini?
MANSUR:
Tentulah kit..
(Tiba-tiba
kedengaran bunyi dentuman sayup2 dari jauh. Kesemua yang ada agak terkejut memandang
ke arah gunung Sirat dari datangnya bunyi itu)
MANSUR:
Itu bukan guruh bunyi macam tu. Dari kelmarin saya dengar, itu
bunyi meriam. katanya Orang putih dah mula berperang dengan Jepun. Apa nasib
kita agaknya?
HASSAN:
Tak tahulah siapa yang menang. Yang saya tahu sekarang, siapa
pun yang menang, selagi ada sifat tamak, akan ada yang merana nanti.
IMAM ROS:
Itu bunyi manusia sedang mencari lebih dari sepatutnya. Itu
bunyi ketamakan insan. Peperangan sesama manusia memang dah berlaku ribuan
tahun. Sebab jiwa manusia yang selalu tak seimbang. Apapun, kita berdoalah agar
kita semua terlindung.
(Lalu
Mengangkat tangan berdoa, dikuti semua yang lain)
Ya Allah, ampunilah dosa kami. Maafkanlah Kami, kasihanilah
kami. Kami selalu melanggar kehendakmu, peraturanmu. Kami mohon agar kau
lindungilah diri kami, keluarga kami, keturunan kami, bahkan seluruh umat manusia, juga tanah ini, sawah ini,
bumi ini dari segala bencana dan malapetaka. Lindungilah kami dari kejahatan
orang yang zalim, dari kedegilan orang yang fasik, dari kesilapan orang yang
jahil. Kami memohon perlindungan dari kejahatan, ketamakkan, kezaliman yang ada
dalam diri kami sendiri. Kurniakanlah bagi kami kebaikan di dunia dan di
akhirat nanti.
SEMUA:
Amin ya rabbil alamin.
(Setelah
selesai berdoa, kesemuanya terdiam dan merenung ke kaki langit yang semakin
merah, dengan dentuman meriam yang semakin kerap)
Untuk dapatkan ebook percuma manuskrip keseluruhan drama Pasak, sila muaturun di SINI.
(https://drive.google.com/file/d/12QFagK8c4SDyku6HfYFpnXT3Bt7C_4cr/view?fbclid=IwAR3Ce4jSJjsbImHeE5x-mVMQl6P0TLDpZIKKi-YGuTNeKyC4FNidcjwPsKw)