Monday 13 April 2020

PASAK: 4- DEMI ANAK KAMPUNG


(Babak: Prologue1, 2345, 678910Epilogue)


Dirumah Penghulu Kasim. Waktu Siang.
MOHSIN, pegawai Jabatan Rimba, duduk bersama PENGHULU KASIM di kerusi tamu di Serambi.
PENGHULU KASIM:
Terima kasihlah Mohsin sebab sudi datang ke rumah aku. Sepatutnya akulah yang pergi jumpa engkau di Pejabat, sebab hal ni ada kena mengena dengan tugas engkau.
MOHSIN:
Ah tak mengapa Tok, memang saya dalam perjalanan nak pulang kebetulan lalu di rumah tok. Pak Ngah saya ada beritahu pasal hajat tok nak bawa kayu tu keluar.
PENGHULU KASIM:
Oh dia dah cerita ya. Baiklah Macamana? Boleh ke?
MOHSIN:
Kalau ikutkan, larangan bawa keluar Kayu Merbau dari Hutan Gunung Sirat dah sepuluh tahun lamanya. Surat tu Residen Kaunselor sendiri yang tandatangan. Jadi agak sulit sedikit Tok.
PENGHULU KASIM:
Aku faham Mohsin, tapi bukankah larangan tu untuk syarikat besar yang bawa keluar beratus pokok. Kalau setakat anak Kampung sendiri nak guna untuk buat rumah takkanlah tak boleh. Sebelum ni, dah banyak rumah daerah ni dibuat dengan Merbau hutan  dari situ,  tak pernah jadi kes banjir atau lain2 hal. Cuma bila Syarikat besar tu bawak keluar banyak2 macam tu baru terjadi malapetaka tu.
MOHSIN:
Betul tu tok. Tapi surat arahan tu tidak pula nyatakan larangan untuk syarikat besar atau kecil atau orang perseorangan. Larangan umum tu.
PENGHULU KASIM:
Begini Mohsin, aku memohon bukan untuk rumah aku sahaja, tapi untuk anak Kampung ni juga. Kalau dapat Kelulusan untuk anak Kampung ini bawa keluar Kayu Merbau tu, boleh buka peluang untuk mereka yang pandai bertukang untuk tambah pendapatan. Kau tentu tahu Merbau Kelawar Gunung Sirat tu istimewa dan harganya tinggi. Kalau kita gunakan berdikit2 dan pastikan tidak ditebang melampau, Insya Allah hutan tu akan kekal dan sentiasa berganti pokok yang  baru.
MOHSIN:
(Termenung Seketika). Beginilah tok, saya akan cuba bawa perkara ini ke Mesyuarat bersama Residen Kaunselor minggu depan. Sebelum tu saya nak Tanya tok, ramai ke anak Kampung ni yang mahir bertukang?
PENGHULU KASIM:
Dulu sebelum larangan adalah 2 3 orang. Selepas larangan tu, tak adalah lagi nampaknya. Tambahan pula tukang2 tu semua dah lanjut usia. Tapi sekarang ni ada seorang yang pandai bertukang baru berpindah dari Kampung Seberang. Asalnya anak Kampung ni Juga. Hassan nama dia. Dia ni pewaris tukang rumah terkenal dahulu, Tok Sidang Damat di Kampung Seberang. Nampaknya dialah yang muda sedikit yang boleh aku harap untuk buat rumah aku tu.
MOHSIN:
Oh Begitu ceritanya ya. Baiklah akan cuba saya usahakan. Sayang juga kalau ada bakat muda kita tak beri peluang. Baiklah Tok, saya minta diri dahulu. Insya Allah kalau ada keputusan yang baik selepas mesyuarat tu saya akan maklumkan kepada Tok. Assalaamualaikum
PENGHULU KASIM:
Waalaikumusssalam.
     Blackout

Untuk dapatkan ebook percuma manuskrip keseluruhan drama Pasak, sila muaturun di SINI.

(https://drive.google.com/file/d/12QFagK8c4SDyku6HfYFpnXT3Bt7C_4cr/view?fbclid=IwAR3Ce4jSJjsbImHeE5x-mVMQl6P0TLDpZIKKi-YGuTNeKyC4FNidcjwPsKw)

No comments:

Post a Comment