Monday 13 April 2020

PASAK; 2 - MERBAU GUNUNG SIRAT


(Babak: Prologue1, 2345, 678910Epilogue)


Waktu siang di Rumah Tok Penghulu Kasim.
PENGHULU KASIM duduk di serambi bersama SEMAN, adiknya yang datang berziarah dari Setenang.
PENGHULU KASIM:
Jadi kau sahih nak minta Hassan buatkan rumah kau tu?
SEMAN:
Jadi bang. Kalau rumah abang dah siap nanti, mintalah dia datang ke Setenang untuk tengok tapak rumah saya pula. Saya kalau boleh tak mahu orang lain buat, sebab saya tengok rumah yang dia buat bersama arwah Datuk dia di Kampung Hilir tu cantik seninya.

PENGHULU KASIM:
Oh rumah Lebai Deraman tu. Aah, aku tahu rumah tu. Memang cantik. Cara dia pasak pun kemas dan kukuh. Dia bukan saja pasak kan tiang dengan rasuk, sampai ke bilah papan lantai pun dia buat pasak. Jarang orang buat begitu sekarang.
SEMAN:
Itulah. Satu lagi arwah datuk dia pandai juga buat perabut dan almari. Pun cantik juga. Kayu lebihan dari rumah yang dibuatnya dijadikan perabut.
PENGHULU KASIM:
Oh? Aku tak tahu dia buat perabut. Hmm…nungkin kalau Hassan boleh buat juga, aku nak juga dia buat satu pasang kerusi tetamu untuk rumah baru aku. Tapi, satu benda yang yang kita kena tahu, kerja arwah datuk si Hassan tu, Tok Sidang Damat,  cantik bukan sahaja sebab nilai seninya, ada satu lagi sebabnya.
SEMAN:
Apa sebabnya tu?
PENGHULU KASIM:
Kayu yang dia guna tu. Kayu merbau kelawar yang dia guna tu, cantik iranya, cantik warnanya dan lain dari merbau biasa. Tak boleh jumpa di tempat lain melainkan di Hutan Gunung Sirat dihulu sungai ni.
SEMAN:
Oh ya betullah. Bukan ke dulu-dulu rumah orang kampung daerah ini gunakan kayu dari situ? Tapi… katanya sekarang Jabatan Rimba tak benarkan kayu tu dibawa keluar lagi, kenapa ya?
PENGHULU KASIM:
Entahlah, katanya kayu tu dari jenis jarang dijumpa, dan ada kaitan dengan air sungai kita tu. Kalau ditebang, habis tanah merah dari hulu tu mendak kat Kampung kita. Satu lagi, kata orang Jabatan, Hutan Gunung sirat itulah yang menyebabkan air Sungai Sirat tu istimewa, air itulah yang menjadikan beras daerah ini sedap dan bermutu.
SEMAN:
Tapi kalau kita ambil setakat nak buat dua tiga rumah tak kan tak boleh. Eh, abang kan Penghulu Kampung ni. Cubalah jumpa Pengarah jabatan Rimba Daerah kita ni. Mintalah dia luluskan permit untuk keluarkan kayu untuk buat rumah kita berdua.
PENGHULU KASIM:
Oh Pengarah Jabatan Rimba Daerah. Ya, ya, aku kenal. Mohsin nama dia. Anak sedara Imam Ros. Aku rasa boleh aku minta Imam Ros pujuk dia supaya keluarkan permit.
SEMAN:
Baik bang. Kalau dapat kayu tu, memang rumah kita lain dari yang lain bang. (disambung dengan gelak tawa dua adik beradik tu)
     Blackout



No comments:

Post a Comment