Monday 8 February 2021

Sinopsis - Kayangan

Sebuah planet buatan, Kayangan namanya, terapung menurut orbit yang jaraknya hanya 700,000 batu lebih jauh dari orbit bumi. Ia menempatkan hampir 200 000 Manusia. Hidup dengan dibantu oleh teknologi termoden yang membekalkan tenaga dan mengitar sumber makanan, air dan sumber penting. Mereka telah berlepas dari bumi kira2 30 tahun yang lalu. Kerana waktu itu bumi telah habis binasa pleh pencemaran dan ketandusan sumber tenaga. Ketika pelancarannya, masih terdapat kira2 7 billion  manusia yang menuju kehancuran, kebuluran dan kemusnahan. Hanya mereka yang bernasib baik telah dipilih untuk diterbangkan ke angkasa dengan planet buatan ini, untuk meneruskan kesinambungan spesis manusia.

Keriteria pemilihannya sangat ketat. Hanya mereka yang benar2 mampu membawa kehidupan yang baik dipilih. Antara kriterianya ialah, punya IQ yang tertinggi. Disamping itu punya daya kreativiti dan sikap dan emsoi yang dapat memanfaatkan sumber dengan cekap dan kreatif. Tidak hanya dipilih dari segi kekuatan mental, terdapat ciri2 genetik yang terpilih, hanya akan diserapkan kedalam Kayangan.

Perancangannya ialah dalam tempoh 200 tahun, KAYANGAN akan kembali ke bumi sekiranya bumi telah pulih atau mencari planet baharu yang membolehkan manusia berkembang biak dan makmur.

Di bumi yang musnah, ramai yang mati. Ketika exodus berlepas, suasana pencemaran sangat tenat sehingga majoriti haiwan telah pupus. Berjuta2 manusia mati dalam masa 10 tahun, kerana pemanasan global dan pencemaran. Sewaktu exodus berlepas, dianggarkan 90% manusia akan mati dalam tempoh setahun sekiranya terus tinggal dibumi.

Terus ke tahun ke 50 selepas Kayangan berlepas, secara tidak sengaja, sebuah kapal peninjau dari Kayangan telah terjatuh ke bumi, menmbusi lapisan awan toksik di sebalik hutan yang tebal tanpa dapat berkomunikasi dengan kapal induk Kayangan. 5 orang anak kapal telah berjalan dibumi dan mendapati masih ada sekumpulan manusia yang hidup dengan makmur. Ini memeranjatkan mereka. Dibawah lapisan awan yang toksik, suasananya jauh berbeza, Kehidupan kembali makmur. Tumbuhan, Haiwan dan sumber asli terdapat dengan banyaknya.

Interaksi anak kapal dengan tamadun baharu yang wujud dibawah lapisan awan toksik itu menjadi kisah yang akan merungkai soal nilai kemanusiaan di dalam kisah ini.

Monday 13 April 2020

PASAK: EPILOGUE


(Babak: Prologue1, 2345, 678910Epilogue)

Pemandangan waktu petang di tepi sawah yang musnah.
HASSAN, IMAM ROS dan MANSUR berdiri di tepi jalan di tepi sawah dan memandang jauh ke tengah sawah.
IMAM ROS:
Nampaknya Tahun ni tak berberas kita. Di Setawar pun orang kata beras dah tak ada, sebab kapal tak masuk. Semua orang takut perang sampai ke sini.
HASSAN:
Nampaknya semua kena tanam ubi keledek. Itu saja yang cepat. Musim padi lambat lagi. Tapi itulah, makan ubi ni boleh tampung lapar saja. Tapi orang kampung akan jadi kurus dan lemah.
MANSUR:
Agaknya kalau hutan gunung sirat tu tak diusik, mungkin tak jadi bencana ni.
HASSAN:
Memang pembalakan di situ menjadi punca bencana ni. Tapi asal usulnya kita juga. Kita yang tebang pokok2 tu, tanah masuk ke sungai, sungai mendak, air naik bila hujan.



IMAM ROS:
Nasib baik rumah2 di kampung Sawah Hulu ni tak teruk di naiki air macam di Kampung Hilir. Tapi tengoklah apa jadi pada sawah2 ni. Mungkin inilah tuhan nak tunjuk kepada kita. Selama ni kita anggap semua benda akan sentiasa ada, sentiasa kekal. Tak akan ada masalah. Bila terjadi bencana, baru kita sedar kita ni kerdil, mudah binasa.
HASSAN:
Saya terfikir Tok Imam, kalaulah saya tak ikutkan kehendak si Seman untuk tebang kayu dibuat kerusi asal dulu, mungkin semua ni tak terjadi.
MANSUR:
Tapi yang menebang pokok tu bukan engkau Hassan. Dulu kau tebang pun setakat untuk keperluan anak kampung. Namun sejak kilang tu dibuka, habis di tebang sampai padang jarak padang tekukur jadinya. Kilang si Seman tulah puncanya.
IMAM ROS:
Ini bukan masanya nak salahkan sesiapa. Tapi kita harus lihat diri kita sendiri. Kita Semua. Semasa Kilang tu dibuka, kita semua fikir yang baik, dapat rezeki yang lebih, dan mudah. Kita fikir dapat kerusi cantik, dapat duit lebih, dapat itu dapat ini. Tapi kita terlepas pandang tentang hubung kait alam semula jadi ni. Kita nak kayu merbau kelawar tu, pokok merbau kelawar dan pokok lain di hutan tu ada tugas, memegang tanah, menapis air hujan agar sungai tak berkeladak. Sepatutnya, semasa kita ambil pokok tu, kita jangan sampai mengganggu tugas dia. Kalau kita ambil sampai terjejas tugas2 pokok tu, kita juga akan merana.
HASSAN:
Betul kata Tok Imam, saya teringat kata arwah datuk saya, setiap pokok ni ada ruh, berzikir pada Allah. Setiap daunnya, setiap rantingnya. Kita mesti punya alasan kukuh untuk Ambil dia. Sebab tu dulu dia kata pastikan tujuan kita mengambil kayunya, atau apa sahaja benda yang kita mahu ambil dari alam ini, alasannya kukuh. Buat rumah, agar manusia terlindung dari bahaya. Dia ajarkan saya segala jenis bentuk pasak dan tanggam, supaya sumber hutan yang diberikan itu dapat digunakan kearah kebaikan. Tapi bila kita ambil lebih untuk perkara2 yang hanya menjadi kehendak, kita telah mengambil lebih dari apa yang sepatutnya, dan akibatnya, tengoklah sawah ni, kehidupan semua orang sekarang dalam kesusahan. Nasib baik saja tak ada yang mati dalam banjir hari tu.
IMAM ROS:
Sebenarnya datuk kamu tu bukan hanya pasakkan kayu merbau, tapi dia juga pasakkan pengajaran penting tu, untuk anak cucu, untuk kita semua. Dia sebenarnya mengingatkan kita, ambil dunia ini setakat perlu untuk kita sampai ke akhirat, jangan lebih. Kadang2, walaupun kita ambil hasil alam untuk benda yang kita rasa perlu, kena berhati2.
MANSUR:
Macamana kita nak tahu banyak ke sedikit yang kita nak ambil tu?
IMAM ROS:
Tak mudah, dan tak juga susah. Ada satu kali, Nabi s.a.w. nampak salah seorang sahabat mengambil air sembahyang dengan air yang banyak. Nabi kata kenapa membazir ni? Sahabat tu tanya, guna air untuk ambil air sembahyang pun boleh dikira membazir? Nabi Jawab, ya, walaupun andainya kau sedang mengambil wuduk di dalam sungai yang mengalir. Jadi, apa juga benda yang kita ambil, kita mesti fikir adakah perbuatan aku ini perlu, atau hanya ikut nafsu. Lepas tu kita kena fikir, banyak mana yang perlu. Jangan sampai terlebih dari keperluan.
MANSUR:
Maksudnya, semua ni berlaku atas sifat tamak, kita sentiasa rasa kita boleh dapat lebih banyak, lebih baik. Rumah lebih cantik, perabut lebih selesa. Bahkan kalau kita fikir, perang di dunia ini pun kebanyakannya sebab tamak.
HASSAN:
Betul juga tu. Inggeris dulu menjajah tanah Melayu, pun sebab tamak. Mereka nak hasil alam kita, dikoreknya bijih timah. Sedangkan negara mereka kekayaan dah melimpah ruah. Sekarang Jepun, berperang dengan semua orang, sebab tamak kuasa, tamak pengaruh. Saya sendiri pun sanggup tebang merbau semata2 nakkan duit Penghulu dan Seman yang mahukan kerusi pasak saya. Seman pula sanggup tebang hutan sirat tu sampai terang sebab nak buat duit dari kilang dia.
IMAM ROS:
Ada benda yang kita buat sebab perlu untuk kesejahteraan, tapi ada batas dan hadnya. Kalau kita ambil dunia ni untuk isi perut yang kosong, untuk buat tempat berlindung, untuk ada pakaian yang boleh menjaga maruah kita, bahkan untuk sedikit keselesaan, itu patut dan adil. Tapi Kadang2 bukan perut kita yang kosong, tapi roh kita yang kosong, jiwa kita yang miskin. Roh kita ni kalau lapar dia akan ingin banyak. Bila dia lapar, dia nak rumah besar, dia nak makan sedap, dia nak perabut baru, dia nak pakaian cantik2 dan mahal. Jadi untuk jaga supaya roh kita ni tak laparkan dunia, banyaklah ingat pada tuhan, banyak ingat pada kehidupan abadi di akhirat. Kalau roh kita penuh dengan rasa pengabdian kepada tuhan, kalau roh kita ni dah nampak kekayaan dan kemuliaan yang kekal di akhirat, dia tak akan laparkan dunia ini. Kita Cuma ambil setakat perlu sahaja.



HASSAN:
Insaf saya dengar kata tok Imam ni. Saya sendiri perasan bila tengok ramai orang yang hidup senang, ada kerusi meja jati berukir dalam rumah, saya pun jadi resah nakkan benda yang sama, sedangkan selama ni saya hidup dari kecil tak pernah pun perlukan semua tu. Kenapa tiba2, bila tengok orang lain ada, saya pun terasa seolah2 benda2 ni semua satu keperluan.
IMAM ROS:
Itu lumrah manusia San, sentiasa ada pergolakan dalam diri kita antara kesederhanaan dan pembaziran, antara kebaikan dan kejahatan. Kita perlu imbangkan dalam diri kita. Kalau tak, nanti tengoklah Allah perintahkan dunia ni imbangkan untuk kita. Jiwa kita tak seimbang, kita ambil lebih, kemudian seolahnya gunung Sirat mengamuk, dilimpahkan mendakkan di sungai, sampai jadi bencana banjir ni. Jadi kita pilih, kita nak kita imbangkan diri kita, atau alam semulajadi bertindak imbangkan dunia ini?
MANSUR:
Tentulah kit..
(Tiba-tiba kedengaran bunyi dentuman sayup2 dari jauh. Kesemua yang ada agak terkejut memandang ke arah gunung Sirat dari datangnya bunyi itu)



MANSUR:
Itu bukan guruh bunyi macam tu. Dari kelmarin saya dengar, itu bunyi meriam. katanya Orang putih dah mula berperang dengan Jepun. Apa nasib kita agaknya?
HASSAN:
Tak tahulah siapa yang menang. Yang saya tahu sekarang, siapa pun yang menang, selagi ada sifat tamak, akan ada yang merana nanti.
IMAM ROS:
Itu bunyi manusia sedang mencari lebih dari sepatutnya. Itu bunyi ketamakan insan. Peperangan sesama manusia memang dah berlaku ribuan tahun. Sebab jiwa manusia yang selalu tak seimbang. Apapun, kita berdoalah agar kita semua terlindung.
(Lalu Mengangkat tangan berdoa, dikuti semua yang lain)
Ya Allah, ampunilah dosa kami. Maafkanlah Kami, kasihanilah kami. Kami selalu melanggar kehendakmu, peraturanmu. Kami mohon agar kau lindungilah diri kami, keluarga kami, keturunan kami, bahkan seluruh   umat manusia, juga tanah ini, sawah ini, bumi ini dari segala bencana dan malapetaka. Lindungilah kami dari kejahatan orang yang zalim, dari kedegilan orang yang fasik, dari kesilapan orang yang jahil. Kami memohon perlindungan dari kejahatan, ketamakkan, kezaliman yang ada dalam diri kami sendiri. Kurniakanlah bagi kami kebaikan di dunia dan di akhirat nanti.
SEMUA:
Amin ya rabbil alamin.
(Setelah selesai berdoa, kesemuanya terdiam dan merenung ke kaki langit yang semakin merah, dengan dentuman meriam yang semakin kerap)

TAMAT


Untuk dapatkan ebook percuma manuskrip keseluruhan drama Pasak, sila muaturun di SINI.
(https://drive.google.com/file/d/12QFagK8c4SDyku6HfYFpnXT3Bt7C_4cr/view?fbclid=IwAR3Ce4jSJjsbImHeE5x-mVMQl6P0TLDpZIKKi-YGuTNeKyC4FNidcjwPsKw)

PASAK: 10- JALAN PULANG



(Babak: Prologue1, 2345, 678910Epilogue)


Suasana waktu pagi di Rumah Hassan, Hujan masih turun. Waktu siang.
Kelihatan ROSNAH, duduk di tangga bersama dua orang wanita yang lebih berumur, MUNAH dan LEHA, yang duduk dilantai.
MUNAH:
Sabarlah Senah ya, kita doalah supaya Hassan dan Induk kau selamat.


ROSNAH:
Memang tak berhenti berdoa Kak Munah. Sejak Tok Penghulu balik semalam dari Kampung Hilir, masih tak ada apa berita tentang abang Hassan dengan Induk saya dan cucu dia.
LEHA:
Pukul Berapa Penghulu Kasim datang semalam?
ROSNAH:
Dalam pukul 11 malam kak. Dia datang tanya pasal Bang Hassan. Sebab masa di sana dia tak nampak bot  Bang Hassan. Lepas tu dia bergegas  pergi, katanya Dia bawa mangsa banjir dari Kampung Hilir dengan bot nak hantar ke Balai Raya di Setawar.
MUNAH:
Eh engkau dah makan ke Rosnah?
ROSNAH:
Pagi tadi dah kak. Lepas tu tak ada selera nak makan.
LEHA:
Eh Rosnah, itu bukan ke Si Rama? (Menunjuk ke lorong masuk ke rumah Hasan, kelihatan Rama mengayuh basikal menuju ke rumah Hasan)
  
ROSNAH:
Hai Rama? Engkau dari mana? Ada dengar berita tentang Abang Hassan?
RAMA:
Kak, saya dari rumah Penghulu ni. Katanya mereka dah jumpa Bot bang Hasan dalam keadaan terbalik, tersangkut di Rumpun Buluh tepi Kuala serai.
MUNAH:
Bot terbalik? Ma Sya Allah! Habis tu tak nampak orangnya ke?
ROSNAH:
(Terduduk di tangga dan mula teresak2)Ya Allah, Abang Hasan, Induk…
LEHA:
Sabar Rosnah ya. Kita belum tahu apa jadi. Sabar ya. Doalah mereka selamat.
MUNAH:
Rama, tok penghulu cakap apa bila dia tahu ni?
RAMA:
Tok kasim cakap dia nak pergi bawa bot dengan orang kampung ke situ cari kalau2 ada yang terselamat di tebing.

ROSNAH:
Rama, tok penghulu dah pergi ke? Saya nak ikut naik bot.
RAMA:
Dia dah pun pergi dengan dua tiga bot lain. Tok penghulu pesan suruh kakak tunggu di sini. Mana tahu kalau2 Bang Hassan ikut jalan darat dan balik ke sini. Kakak tak usah kemana ya. Kita tunggu di sini.
LEHA:
Betul juga cakap dia. Rosnah, kita naik dulu. Mana tahu mereka tinggalkan bot sebab enjin rosak ke. Dah tentulah dia akan ikut jalan darat Balik ke sini. Kalau betul begitu, dia akan keluar ikut denai di darat tu.
ROSNAH:
Yelah Kak. Rama, boleh tak pergi ke penampang tunggu tok penghulu balik. Kalau ada apa2 berita kau cepat2 balik ke sini.
RAMA:
Baiklah Kak. (lalu menyorong basikalnya keluar ke lorong semula, tiba2 dia patah balik berlari2 kerumah)
RAMA
Kak Ros! Kak Ros! Abang Hassan! Abang Hassan dah balik.
Rosnah segera turun ke bawah. Kak Leha dan Munah meninjau dari serambi.
(Kelihatan HASSAN bersama Seorang wanita berumur, SALAMAH dan seorang budak perempuan, ZAHARAH. Pakaian mereka basah kuyup dalam hujan)
LEHA:
Alhamdulillah syukur! Selamat engkau Hasan. Aku ingat dah menjandalah Rosnah.
MUNAH:
Ish apa kau ni Munah, ada pulak cakap macam tu.
HASSAN:
Assalaamualaikum Semua. Kak Leha, Kak Munah, Rama, kau pun ada sini. (Lalu Bersalam dengan Rama)

ROSNAH:
(segera bersalam dan mencium tangan suaminya)
Alhamdulillah abang selamat. Induk.
(Mencium tangan ibu saudaranya dan seterusnya budak permpuan tu bersalam dengan Rosnah dah semua yang lain di situ)
SALAMAH:
Alhamdulillah Senah, panjang juga umur Induk dapat tengok muka engkau. Nasib baiklah Hassan datang selamatkan kami. Kalau tidak apalah nasib induk dengan si Zaharah ni.
LEHA:
Eh apa dah jadi San. Orang kampung kata bot kau terbalik di Kuala Serai. Kami semua dah terbayang  yang buruk. Si Rosnah ni menangis2 dah.
HASSAN:
Macam ni Kak. Saya semalam tiba dengan bot ke rumah Induk saya ni dalam pukul 9 malam, air dah sampai empat anak tangga dah. Lepas ambil Induk dengan Zahrah, saya sempat pergi ke dua tiga buah rumah dekat situ ambil lagi dalam lapan orang naik bot saya tu. Semasa kami balik lalu di kuala Serai, enjin bot saya rosak, cepat2 saya kemudikan ke tepi dan ikat di Rumpun Buluh. Lepas ikat bot di situ, kami semua turun ikut denai lalu bukit Semut. Pagi ni baru sampai. Yang lain2 tu saya dah tinggalkan di Masjid. Katanya nanti petang ada trak pejabat Daerah datang bawa ke Balai raya Setawar. Induk dengan si Zaharah ni biarlah duduk di rumah kita sementara banjir ni. Nampaknya bot tu dah terbalik sebab saya ikat dekat buluh dan air dah semakin naik.
LEHA:
Bukan ke aku dah cakap. Mesti enjin rosak ni.

MUNAH:
Alhamdulillah dah selamat. Eh Rosnah, bawa Induk kau dengan budak ni naik atas tukar baju ke apa ke, sejuk budak ni.
ROSNAH:
Ialah. Induk, Zahrah, naik dulu nanti Mak Long ambilkan baju dengan kain kering untuk salin.
HASSAN:
Rama, kau tunggu aku salin baju, lepas tu mari kita ke rumah tok penghulu tengok apa yang kita boleh bantu.
RAMA:
Tok penghulu dengan orang kampung dah naik bot ke Kuala serai Cari Bang Hassan.
HASSAN:
Ye ke? ..Kalau macam tu nanti kita pergi ke masjid tengok yang lain macam mana. Eh Kita ada makanan tak boleh bawak ke sana. Semua yang di masjid tu tak makan dari malam tadi ni. Rosnah, boleh tak kita masak nasi dengan apa yang kita ada untuk makanan dalam sepuluh orang.
LEHA:
Tak apalah Rosnah, kau masaklah nasi. biar aku balik goreng ikan pekasam sikit dengan buat gulai telur sedikit. Munah, kau ikut aku tolong aku.
MUNAH:
 Yelah, Hasan nanti lepas kau siap singgah ke rumah Kak leha ambil lauk ya.
HASSAN:
Baiklah kak. Terima kasih kak Leha, Kak Munah. Assalaamualaikum

LEHA dan MUNAH:
Waalaikumussalam.
     Blackout.

PASAK: 9- HUJAN


(Babak: Prologue1, 2345, 678910Epilogue)
Di Rumah Tok Penghulu Kasim. Waktu Siang.
Kelihatan SEMAN dan Tok PENGHULU KASIM sendiri sedang berbual. Waktu siang. Di luar hujan turun dengan lebat.
PENGHULU KASIM:
Nasib baik kau Singgah Seman. Sebenarnya aku memang nak jumpa engkau ni nak bertanya hal penting. Tentang hal sungai kampung ni. Nampaknya bila hujan air cepat sangat naik sampai ke tebing. Aku risau kalau hujan tak berhenti turun macam ni, boleh banjir kampung ni. Eh dulu kau kata masalah macam ni tak akan terjadi? Kau kata kalau kau bawak keluar kayu2 tu, air tak akan naik? Kau kata sungai kau akan korek selalu. Macamana ni?

SEMAN:
Sebenarnya Bang. Ada masalah sikit. Mesin pengorek di Kuala Serai saya rosak. Mahal nak baiki. Dah dua bulan tak dapat mengorek sungai.
PENGHULU KASIM:
Masya Allah. Rosak? Eh, Kalau dah rosak kau kena baiki cepat. Ini hidup mati orang kampung. Mahal atau tidak, kau kena baiki cepat. Kalau banjir, bukan sawah orang kampung saja yang jahanam, dengan kilang2 engkau tenggelam nanti. Lagi parah engkau nanti.
SEMAN:
Ini masalah saya sebenarya bang. Sejak kebelakangan ni, jualan kilang saya ke Singapura dah terhenti. Katanya semua orang terfikir perang dah dekat. Orang putih sedang buat persediaan menghadapi serangan Jepun, tak ada siapa berani nak beli apa2 lagi sekarang. Jadi saya mengalami masalah duit untuk betulkan mesin tu. Ambil masa nak beli barang ganti mesin tu.
PENGHULU KASIM:
Tak boleh jadi macam ni. Musim hujan dah mula ni. Kalau sebelum ni air memang melimpah setakat nak airkan sawah. Aku takut kali ni air naik sampai ke lantai rumah.
(Tiba2 kedengaran Orang memberi salam)
PENGHULU KASIM:
Walaikumussalam. Oh Nasa, hah apa hal ni, kenapa nampak cemas ni?
NASA:
Abang Seman ada sini pun, saya memang cari Abang seman. Budak2 Kilang kata abang ke sini. Saya pun bergegas datang ke sini.
SEMAN:
Hah Kenapa ni Nasa?
NASA:
Begini Bang, Tok. Si Ludin baru balik dari Kuala Serai nak tengok mesen pengorek kita tu. Dia kata air dah naik, pondok stesen dah dinaiki air, Sungai Serai dah melimpah bang.
PENGHULU KASIM:
Betul ni Nasa? Ma Sya Allah. Baru saja aku cakap. Dah jadi. Dia lalu Kampung Hilir tak? Apa nasib orang kampung di situ?
NASA:
Ludin kata dia tak boleh masuk pun Kampung Hilir, Jambatan masuk dah hanyut.

SEMAN:
Kampung Hilir dalam bahaya. Macam mana ni?. Apa kita nak buat ni Bang?
PENGHULU KASIM:
Macam ni, Seman, kau ke balai di Simpang untuk talipon pejabat daerah di Setawar untuk minta urusan bantuan. Nasa, Hassan ada bot kan? Mari kita pergi ke rumah dia. Aku nak guna bot dia ke Kampung Hilir tengok keadaan di sana. Aku takut kalau hujan macam ni, habis hanyut satu kampung.
NASA:
Kak Rosnah kata abang Hassan dah pun ke sana dengan bot tok. Saya lalu rumah dia tadi. Kak Rosnah risau tentang mak sedara dia di Kampung Hilir. Dia kata Abang Hassan nak pergi ambil Mak sedara dia dengan cucu dia.
SEMAN:
Tak apa Bang, boleh pakai bot saya di penampang. Nasa, kau bawak Abang Kasim ke bot kita. ajak 2 -3 orang budak ikut sekali, tengok apa yang kita boleh bantu di sana.
PENGHULU KASIM:
Bagus, dah Nasa, Meh kita. Seman, kau lekas ke Balai.

Blackout

Untuk dapatkan ebook percuma manuskrip keseluruhan drama Pasak, sila muaturun di SINI.
(https://drive.google.com/file/d/12QFagK8c4SDyku6HfYFpnXT3Bt7C_4cr/view?fbclid=IwAR3Ce4jSJjsbImHeE5x-mVMQl6P0TLDpZIKKi-YGuTNeKyC4FNidcjwPsKw)

PASAK: 8- TIKUS DAN ULAR


(Babak: Prologue1, 2345, 678910Epilogue)


Di Rumah Hassan. Waktu Petang.
MANSUR sedang duduk berbual bersama HASSAN. ROSNAH turut ada di Sebelah Hassan Suaminya.
MANSUR:
Hassan, Rosnah, aku datang ni hantar duit padi bahagian kamu tu. Maaflah Musim ni banyak ni sahaja yang kita dapat.
HASSAN:
Terima kasih Mansur, dah cukup dah ni. Aku tengok orang lain pun tak seberapa tuainya musim ni. Ini dah cukup bagus kau masih tolong sawah aku tu. Kau pun tahu, aku dengan kerja membuat rumah di Setenang, tak sempat kalau aku nak bersawah sekarang ni.
ROSNAH:
Betul Bang Mansur, Kami ni sekarang selalu ke sana. Kadang2 dua  hari baru balik. Kalaulah Bang Mansur anak beranak tak kerjakan sawah kami, agaknya tak bertanam langsung sawah kami musim ni.
MANSUR:
Memang ramai yang tak ke sawah tahun ni. Kau pun tahu, sejak Kilang Si Seman tu di buka, ramai anak orang kampung ni kerja di situ. Itu sebabnya banyak sawah tak diusahakan tu. Yelah, kalau yang kerja kilang tu, yang rajin boleh dapat gaji sebulan sampai tujuh lapan puluh ringgit. Sama macam dapat jual beras satu musim. Siapa yang tak nak San. Si Nasa tu, budak engkau dulu tu, katanya gaji dia sebulan sekarang dah seratus dua puluh ringgit. Bukan main bergaya lagi aku tengok dia sekarang.
HASSAN:
Dah rezki dia Mansur. Aku pun tumpang gembira tengok dia berjaya. Kalau dia masih kerja dengan aku macam dulu, mungkin tak semewah sekarang ni. Ramai orang nak marahkan dia berhenti kerja dengan aku. Aku rasa itu hak dia. Ilmu bertukang yang aku ajarkan pada dia ni dia gunakan untuk menguruskan kilang kayu tu. Aku rasa ada eloknya juga.
ROSNAH:
Memanglah elok pada dia bang. Tapi yang saya risaukan, kilang tu sekarang keluarkan kayu merbau beratus batang sebulan. Tak tahu dah apa jadi kat Hutan Gunung Sirat tu, entah entah dah jadi padang jarak padang tekukur. Nasib baik lah daerah ni tak dilanda banjir macam dulu.
MANSUR:
Betul kata kau Rosnah. Ini satu lagi yang aku risau San. Bila hujan air sungai sekarang selalu  keruh dan merah. Pasal banyak merbau di tebang tulah. Nak memancing pun ikan dah kurang. Bila kita tahan air untuk limpahkan kesawah, naik takut aku tengok air dalam petak sawah merah macam teh susu. Aku rasa itu salah satu sebabnya beras kita dah tak sesedap dulu.
HASSAN:
Mungkin benar juga. Tapi, sebab itu jugakah tuaian padi kita merosot? Sebab air sungai tu ke?
MANSUR:
Rasanya bukan sebab tu. Tapi sebab tikus. Tikus makin mengganas sekarang. Tahu apa sebab tikus banyak sekarang? Sebab banyak petak sawah dah tak diusahakan. Yelah orang yang dah beralih kerja ke kilang tak turun ke sawah lagi, sawah terbiar jadi semak, jadi sarang tikus. Jadi tikus tertumpu pada petak yang ada padi. Kalau dulu memang tikus ada, tapi masa tu sawah kampung ni semua diusahakan, kesan serangan tikus tak begitu terasa, sebab kawasan luas, padi banyak.
HASSAN:
Bila dah jadi macam ni, aku rasa sedih pun ada, menyesal pun ada. Aku rasa ini semua salah aku.
ROSNAH:
Sudahlah bang, janganlah fikir kesitu. Ini dah takdir. Dunia berubah. Kalau bukan kerana abang, tentu ada sahaja orang lain yang akan buat benda yang sama. Baik kita fikir apa yang kita boleh buat sekarang.
MANSUR:
(Memandang Hassan)
Salah engkau? Eh Kenapa kau kata benda ni terjadi salah engkau?
ROSNAH:
Bukan apa Bang Mansur, Bang Hassan ni terkenang sewaktu Tok Penghulu Kasim minta dia buat kerusi tamu dia dulu. Kisahnya dari Kerusi tulah orang luar mula minat dengan kayu merbau kelawar hutan Gunung Sirat. Dari jualan kerusi tu jugalah Seman dapat duit buat kilang untuk jual barangan kayu merbau tu sampai ke Singapura. Bila dia dah buka kilang tu, ada alasanlah dia dapat permit bawak keluar Merbau banyak macam tu.
MANSUR:
Macam tu. Alah, Tak usahlah kau nak salahkan diri kau San. Benda kalau ada harga lama kelamaan akan diambil orang juga. Kalau bukan engkau, entah siapa pulalah yang datang tebas hutan merbau tu dengan alasan apa pulalah kita tak tahu. Dunia sedang berubah sekarang. Tengok saja kita sekarang ni, kalau dulu aku datang rumah engkau ni duduk minum atas lantai. Sekarang ni atas kerusi kayu jati. Dunia berubah San.
HASSAN:
Memanglah berubah Mansur. Tapi Kalau perubahan tu setakat, dulu duduk dilantai, sekarang duduk atas kerusi, apa perubahannya? Kita masih sama. Pemikiran kita masih sama. Yang betul2 berubah ialah sekarang sawah dah tak subur, tuaian dah kurang, sungai dah keruh, Ikan dah susah ditangkap.
MANSUR:
(Terdiam) Mungkin itu harga yang kita terpaksa bayar untuk berubah. Tapi, bukan ke dengan duit yang orang kampung dapat dari kilang tu, mereka boleh beli beras dan ikan di Pekan? Mereka dah tak perlu membajak menyemai tengah sawah yang panas. Kerja dalam Kilang yang teduh, hujung bulan dapat duit ke pekan beli belanja dapur. Kan senang macam tu?
HASSAN:
Beli beras dan makanan dari Pekan? Habis beras di pekan tu siapa yang tanam? Orang Siam? Kemudian kita tak terfikir ke, kenapa orang siam tu masih menamam padi? Mereka tak nak berubah juga ke? Mereka tak nak beralih kerja kilang juga ke? Kalau satu dunia fikir macam ni, nanti semua orang ada duit tapi tak ada orang ada beras.
MANSUR:
Entahlah San, aku tak terfikir sampai ke situ pulak. Tapi sebenarnya san, bila keadaan macam ni. Aku pun rasa macam serik nak terus bersawah. Kalau dulu semusim boleh dapat 700-800 gantang. Sekarang nak dapat 500 gantang pun belum tentu. Dengan airnya macam tu, dengan tikusnya lagi. Penat San.
ROSNAH:
Kalau abang mansur tak nak buat sawah lagi, abang nak buat apa pulak?
MANSUR:
Tak tahulah, silap2 aku pun mintak kerja kat kilang Seman tu. Dah itu aje pekerjaan yang nampaknya ada kat kampung ni. Anak aku sorang dah memang kerja situ.
HASSAN:
Aku pun tak tahu nak cakap macamana Mansur. Takkan aku nak paksa engkau terus bersawah kalau dah begini keadaannya. Tapi aku sayangkan sawah kampung kita ni. Sedih aku tengok petak2 yang terbiar jadi sarang tikus sarang ular.
MANSUR:
Dah tak usahlah kita meratap je San. Engkau tak ada masalah. Duit dah banyak. Kerja bertukang engkau dengan buat kerusi tak berhenti aku tengok. Kalau aku tak buat sawah engkau pun engkau boleh beli beras dari Setawar. Apa kau susahkan san.
ROSNAH:
Janganlah cakap macam tu Bang Mansur. Kami seboleh2nya nak rasa beras sendiri. Lain. Di Setenang tu merasa juga makan beras Siam. Tapi tak sama. Beras Kita juga sedap.
MANSUR:
Tapi sekarang ni beras kita dah lain. Sejak Balak tu ditebang, dah tak sama dah.
HASSAN:
Kita sebenarnya buat pilihan yang salah. Cuba fikir. Kita ada pilihan, Nak jual balak atau nak jual beras. Dulu Kita boleh hidup dengan jual beras. Sampai ke Singapura beras kita mahal harganya. Sekarang kita dah beralih buat kilang dan potong balak. Kita dapat duit dari kilang, lebih banyak dari bersawah. Tak payah berpanas membanting tengah sawah. Cukup bulan beli beras siam yang murah, tapi tak berapa sedap. Jadi apa yang kita pilih?
MANSUR:
Sudah tentu orang pilih bekerja kilang san. Duitnya lebih, kerjanya senang.
ROSNAH:
Tapi saya terfikir satu benda Bang Mansur. Kalau beras yang kita beli dari Siam tu Putus? Bolehkah kita bersawah balik? Sanggup ke?
MANSUR:
Maksud kau, kalau orang siam dah kehabisan beras?
HASSAN:
Beras dari Siam tak akan habis rasanya. Aku tengok di Pelabuhan Setawar tiap2 minggu berderet2 tongkang siam bawa beras. Ada yang terus ke Singapura hantar beras.
ROSNAH:
Tapi yang saya risau apa jadi kalau tiba2 kapal2 tu tak boleh masuk. Apa jadi kalau perang? Dengar Kabarnya, Jepun dah mula nak masuk ke Tanah Melayu ni. Masa saya dan Abang Hassan ke Setawar kelmarin,  terdengar ramai yang cakap orang putih dah mula nak lari balik ke England. Siapa yang jaga pelabuhan nanti? Beras Siam boleh masuk ke? Kalau Jepun memerintah, ada tak kemungkinan beras semua dihantar ke Jepun?. Yelah, Jepun dah banyak berhabis untuk perang.
MANSUR:
Eh betul ke ni Rosnah, Hassan? Takkan sampai nak tutup pelabuhan? Jepun ke Orang Putih ke mesti nak pakai kapal juga kan?
ROSNAH:
Kalau tak tutup dek perang, mungkin kena tutup sebab lain. Ingat tak masa kes wabak penyakit masa kita kecil dulu?. Katanya masa tu Orang putih tak benarkan siapa2 keluar masuk daerah. Kapal pun tak boleh berlabuh. Katanya takut wabak dari Singapura masuk daerah ni.
MANSUR:
Ya aku ingat. Ramai yang mati di ladang getah orang putih sebab wabak tu. Kapal ke, lori ke semua tak boleh melintas daerah. Tapi kita masa tu tak rasa apa pun. Beras Ada. Kambing Lembu ayam semua kita bela sendiri. Ikan senang je dapat dari Sungai.
 ROSNAH:
Itulah yang saya cakap. Kalau kita semua beralih ke Kilang, tak ada orang ke sawah, dah tak ada sumber makanan, kebulur kita kalau ada kecemasan.
MANSUR:
Betul juga cakap kau ni Rosnah. Aku tak pernah terfikir macam tu. Tapi kalau aku dengan beberapa kerat saja yang nak pertahankan sawah, sedangkan yang lain semua kekilang, berat juga rasanya. Kami saja yang berpanas, berlumpur, dapat tak seberapa pula tu. Sedangkan orang lain duduk dalam kilang teduh, tiap bulan dapat duit yang cukup.
HASSAN:
Harap2nya pemerintah fikir cara yang baik supaya kita tak terjerat. Tak bolehlah semata2 fikirkan duit dan kesenangan sampai kita gadaikan keselamatan makanan kita, hutan kita. Mesti ada rancangan yang baik. Tapi entahlah, mungkin Orang Putih sekarang cuma fikir nak lari balik ke England. Takkan dia nak fikir benda ni semua.
MANSUR:
Orang Putih boleh lari balik England, kita nak lari kemana?
(Semua terdiam babak berakhir dengan kesuraman)


Untuk dapatkan ebook percuma manuskrip keseluruhan drama Pasak, sila muaturun di SINI.


PASAK: 7- SERATUS BATANG MERBAU


(Babak: Prologue1, 2345, 678910Epilogue)


Di pejabat Pengarah Jabatan Rimba Daerah. Waktu siang
Suasana di dalam sebuah pejabat sederhana. Terdapat satu set sofa. SEMAN, dan MOHSIN sedang duduk.
MOHSIN:
Kilang yang Encik Seman nak buat ni hampir 4 ekar. Besar ni. Tanah siapa ni ya?
SEMAN:
Ini tanah anak kampung tu juga. Tanah sawah asalnya. Dengan duit jual tanah tu tak payah mereka bersawah lagi. Tambahan pula, saya beri mereka dan anak2 kampung jawatan dan pekerjaan di Kilang tu.
MOHSIN:
Baguslah kalau macam tu. Tapi sayang juga tanah sawah tu. Sawah Kampung Encik Seman ni istimewa. Beras nya kalau jual sampai ke Singapura mahal harganya.
SEMAN:
Betul tu. Tapi jangan risau, banyak lagi sawah di Kampung tu. Ramai lagi yang bersawah. Cuma ada satu lagi kelebihan Kampung tu yang berharga. Kita ada tukang yang mahir dan berseni. Kilang saya ni gunakan kelebihan anak Kampung juga yang tak patut disia2kan.
MOHSIN:
Oh maksud nya Bang Hassan dan anak buahnya? Kabarnya Encik Seman jualkan perabot yang mereka buat di Kota Setawar dan sampai ke Singapura. Pandai betul Encik Seman Berniaga. Jadi, nanti, Abang Hassanlah yang akan jadi pengurus kilang tu ya.
SEMAN:
Saya memang asalnya minta dia jadi pengurus. Tapi nampaknya Hassan tak nak beralih dari bertukang rumah. Dia tak nak buat perabut besar2an. Katanya sepatutnya perabut tu Cuma hasil sampingan sahaja. Jadi saya terpaksa ambil Anak buahnya, Nasarudin untuk jadi pengurus kilang tu. Tak dapat rotan akar pun berguna.
MOHSIN:
Boleh ke Anak buah Hassan tu, siapa namanya, Nasaruddin? Buat perabut secantik kerja Abang Hassan tu?
SEMAN:
Untuk Kilang ni, saya tak buat kerusi buatan Hassan tu. Itu dia buat dirumahnya sendiri. Saya sebenarnya ada rancangan lain. Sepanjang saya jualkan kerusi Hassan tu, saya dapat banyak permintaan lain selain dari kerusi tu. Ada yang ingin buat Katil, Almari, barang perhiasan. Yang ini Nasruddin boleh uruskan dengan tenaga muda dikampung tu. Pembeli sebenarnya sangat sukakan perabut dan barang perhiasan rumah yang dibuat dengan merbau kelawar tu. Tak jumpa di tempat lain. Jadi, sebab tulah hari ni saya datang ke pejabat ni.
MOHSIN:
OH macam tu pula ye. Biar saya teka, Encik Seman nak permit keluarkan Merbau tu dengan banyak ya?
SEMAN:
Haa betul lah tu. Pandai Encik Mohsin meneka. Setakat ni kami Cuma ada permit keluarkan sepuluh batang sebulan dari hutan tu, tapi permintaan melebihi apa yang kami keluarkan. Jadi tujuan saya datang ni supaya permit tu ditambah lagi.
MOHSIN:
Berapa batang yang Encik Seman nak?
SEMAN:
Kalau boleh seratus batang sebulan?
MOHSIN:
Wah banyak tu. Boleh ke kilang tu proses seratus batang sebulan kayu tu?
SEMAN:
Sebenarnya begini Encik Mohsin. Kami Cuma gunakan dalam 5-6 batang sahaja sebulan untuk buat perabut dan perhiasan. Tapi kami dapat permintaan untuk buat papan dan kayu merbau oleh saudagar dari singapura. Jadi cadangannya, selebihnya akan diproses jadi kayu dan papan untuk dijual. Seperti yang encik Mohsin tahu, Kayu merbau kelawar tu istimewa. Ramai peminatnya. Orang Singapura tu kata, banyak permintaan dari eropah untuk Merbau Kelawar tu.
MOHSIN:
Nampaknya Encik Seman bukan setakat jual seni pertukangan anak kampung ya, tapi jual dengan pokok2nya sekali.
SEMAN:
Taklah macam tu. Saya rasa apa salahnya kita gunakan benda bernilai yang kita ada untuk memajukan anak tempatan. Kilang tu nanti akan ambil lagi tiga puluh pekerja, semuanya anak kampung. Ekonomi mereka akan lebih baik. Anak2 muda dikampung tu takkan semuanya nak ke sawah. Mereka juga punya tenaga untuk buat benda baharu. Kalau dikampung lain, saya tengok anak mudanya semua terpaksa berhijrah ke bandar untuk bekerja, kerana tak ada peluang bekerja dikampung mereka. Ini peluang bagus ntuk kita wujudkan pekerjaan di Kampung itu sendiri.
MOHSIN:
(Terdiam memikirkan kata kata Seman) Ada benarnya hujah Encik Seman. Memang kita perlu mencipta peluang pekerjaan baharu. Tapi… kalau seratus batang tu rasanya banyak sangat. Apa yang kami di Pejabat Rimba khuatir ialah kesan pada tanah dan sungai. Dulu kita larang sebab kesan banjir di Kuala Sungai Serai. Kami telah merujuk pada Jabatan Saliran dan Sungai dan mereka sahkan puncanya pembalakan pokok Merbau di Hutan Sirat Oleh syarikat inggeris itu dahulu.
SEMAN:
Saya telah kaji masalah ini dan kami ada perancangan. Apabila penebangan dibuat kelak, kami akan tempatkan mesen pengorek di Kuala Serai untuk mendalamkan sungai pada setiap minggu. Saya telah meminta jurutera di Jabatan Sungai untuk membuat pengiraan. Kata dia, bila musim hujan Kuala Serai perlu dikorek 2 minggu sekali untuk mengelakkan Banjir. Kami akan korek seminggu sekali.



MOHSIN:
Oh dah berjumpa dengan Pegawai sana ya. Tapi, masalah yang akan timbul nanti bukan setakat masalah banjir. Pokok Merbau tu tumbuh berhampiran dengan gua kelawar yang banyak ada di gunung Sirat tu. Salah satu sebab kayu merbau tu jadi istimewa, ialah bila hujan, air yang mengalir dari gua-gua kelawar tu membawa khasiat tertentu kepada pokok merbau di situ. Sebab itulah orang dahulukala menggelarnya merbau kelawar. Air yang sama juga mengalir masuk ke Sungai Serai dan seterusnya Sungai Tenaling yang mengairkan sawah2 di Kampung sekitar. Sebab itu Juga padi dari sawah sekitar Sungai di daerah ini istimewa rasanya. Kami bimbang sekiranya perubahan mendadak pada hutan Gunung Sirat tu akan mengancam kelawar yang ada di gua2 disitu, dan menganggu hasil padi penduduk kampung.
SEMAN:
Tapi tuan, masalah utama ialah banjir, yang itu kami akan pastikan tak terjadi. Airnya tetap sama. Gua kelawar tu tidak akan kami usik. Beginilah Tuan. Saya tak akan buat sesuatu yang mengancam kemaslahatan orang kampung. Niat saya memang nak bantu orang kampung kearah kehidupan yang lebih baik. Kalau betul kata tuan gua kelawar tu penting untuk padi dan merbau tu, kami akan buat perancangan agar merbau di sekitar gua kelawar itu tidak diusik. Kami pun tahu, merbau di sekitar gua tu masih muda sebab ditebang oleh syarikat yang dahulu. Kami serahkan kepada pejabat tuan untuk mewartakan kawasan mana yang boleh ditebang dan mana yang tak boleh. Kami akan ikut sahaja.
MOHSIN:
Nampaknya Encik Seman dah bersungguh2 nak buat kilang ni. Beginilah. Saya tak boleh buat keputusan sendiri. Perkara sebegini sebenarnya perlu dibawa ke Mesyuarat Pengurusan Negeri. Residen Kaunselor yang akan pengerusikan mesyuarat tu.
SEMAN:
Baiklah kalau begitu. Sebenarnya untuk pengetahuan Encik Mohsin, saya ada membuka mulut dengan Residen Kaunselor sendiri. Dia kawan saya sama2 bermain golf di Kelab Golf Kota Setawar. Dia faham niat saya dan dia pun nampaknya menyokong usaha saya ini.
MOHSIN:
Oh begitu? Memang cepat betul Encik Seman buat kerja ya. Tak apalah, saya akan bawakan. Cuma saya minta kertas cadangan kilang tu. Kalau boleh nyatakan perancangan penebangan dan kesan ekonomi pada penduduk kampung. Satu lagi saya akan minta surat pengesahan kerja menggali Kuala Sungai Serai dari Jabatan Sungai dan Saliran.


SEMAN:
Terimakasihlah Encik Mohsin sebab sudi pertimbangkan permohonan saya ni. Insya Allah benda baik kita sama2 dapat berkat. Baiklah saya minta diri dahulu. Eh, Encik Mohsin tak main golf ke? Kalau Nak kita boleh main sama. Hujung minggu saya akan bermain dengan Residen Kaunselor. Nak ikut tak?
MOHSIN:
(Ketawa Kecil) Saya ni pegang kayu golf pun tak pernah. Tak apalah. Sampaikan saja salam saya pada Tuan Kounselor.
SEMAN:
Baiklah kalau begitu. Assalaamualaikum
MOHSIN:
Walaikumussalam.
     Blackout

Untuk dapatkan ebook percuma manuskrip keseluruhan drama Pasak, sila muaturun di SINI.
(https://drive.google.com/file/d/12QFagK8c4SDyku6HfYFpnXT3Bt7C_4cr/view?fbclid=IwAR3Ce4jSJjsbImHeE5x-mVMQl6P0TLDpZIKKi-YGuTNeKyC4FNidcjwPsKw)